DUNIA > BERITA

PROTES DI PAKISTAN: SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA KELUAR NASIHAT PERJALANAN

26/11/2024 06:47 PM

NEW DELHI, 26 Nov (Bernama) -- Rakyat Malaysia di Pakistan dinasihatkan supaya berhati-hati berikutan perarakan di ibu negara Islamabad oleh penyokong bekas perdana menteri Pakistan yang kini menjalani hukuman penjara, Imran Khan. 

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad meminta rakyat Malaysia untuk sentiasa mengikuti perkembangan keadaan setempat, mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Pakistan dan mendaftar dengan pihak misi diplomatik.

"Elakkan perjalanan yang tidak perlu, terutamanya di kawasan yang mungkin terjejas oleh pergolakan. Jika anda mesti melakukan perjalanan, maklumkan kepada seseorang tentang rancangan perjalanan anda," menurut Suruhanjaya Tinggi dalam nasihat yang disiarkan di laman Facebooknya pada Selasa.

"Patuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Mematuhi peraturan adalah penting untuk keselamatan anda," menurutnya.

Empat anggota keselamatan terbunuh pada Isnin dalam serangan yang disifatkan oleh Perdana Menteri Shehbaz Sharif pada Selasa sebagai tindakan penyokong Imran, yang sejak Ahad cuba menuju D-Chowk, dataran di luar bangunan parlimen.

Perarakan itu bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan untuk membebaskan Imran, yang kini berada di penjara dan menghadapi pelbagai tuduhan.

Kerajaan telah berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan yang mengadakan protes yang diharamkan di kawasan utama di ibu negara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan