DUNIA > BERITA

JUARA LIMA KALI GRAND SLAM SWIATEK DIGANTUNG SEBULAN KESALAHAN DOPING

29/11/2024 07:08 PM

WARSAW, 29 Nov (Bernama-Xinhua) -- Juara lima kali Grand Slam, Iga Swiatek digantung sebulan selepas ujian doping mendapati dia positif bahan terlarang, umum Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) pada Khamis.

Bahan terlarang itu dikesan dalam sampel yang diambil daripada Swiatek pada 12 Ogos, sebelum kejohanan Cincinnati. Ujian di luar pertandingan itu menunjukkan kehadiran sisa trimetazidine (TMZ), lapor Xinhua.

Pemain nombor dua dunia dari Poland itu digantung sementara bermula 12 Sept menyebabkan beliau terlepas kejohanan di Seoul, Beijing dan Wuhan, walaupun beliau tidak mendedahkan sebab sebenar pada masa itu.

ITIA menerima hakikat bahawa ujian positif itu disebabkan oleh "pencemaran ubat bukan preskripsi terkawal (melatonin), yang dikeluarkan dan dijual di Poland yang diambil oleh pemain itu kerana masalah jet lag dan susah tidur dan memutuskan kesalahan Swiatek bukan disengajakan.

Disebabkan itu, Swiatek dikenakan penggantungan sebulan dan beliau secara rasmi akur dengan keputusan Pelanggaran Peraturan Anti-Doping serta menerima hukuman itu pada 27 Nov. Digantung secara sementara dari 12 Sept hingga 4 Okt, Swiatek masih berbaki lapan hari penggantungannya. Selain itu, beliau akan kehilangan wang hadiah daripada Kejohanan Cincinnati.

Persatuan Tenis Wanita (WTA) menyuarakan sokongan terhadap keputusan ITIA pada Khamis dan menekankan pentingnya atlet memastikan keselamatan ubat-ubatan mereka untuk menegakkan prinsip sukan bersih.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan