DUNIA > BERITA

SIDANG KEMUNCAK HALAL DUNIA, EKPO HALAL DI ISTANBUL TAWAR PELUANG PERDAGANGAN

01/11/2025 11:58 AM

ISTANBUL, 1 Nov (Bernama-Anadolu) -- Sidang Kemuncak Halal Dunia dan Ekspo Halal yang akan diadakan bulan depan di Istanbul bertujuan membina jambatan baharu bagi memperkukuh perdagangan serta diplomasi komersial melalui forum perniagaan negara dan sesi pertemuan perniagaan-ke-perniagaan (B2B), lapor Anadolu Ajansi.

Diadakan di bawah naungan Presiden Turkiye dengan kerjasama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), acara empat hari itu akan berlangsung di Pusat Pameran Istanbul dari 26 hingga 29 Nov, menurut kenyataan penganjur.

Mesyuarat B2B, yang memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya untuk menembusi pasaran global, membolehkan pengeluar mempromosikan produk mereka dan memperluas rangkaian eksport, di samping mempercepat proses penjenamaan.

Forum perniagaan negara pula berperanan penting dalam menarik pelaburan asing langsung, dengan pelabur antarabangsa berpeluang mengenali potensi pelaburan setiap negara dengan lebih dekat melalui pembentangan dan perkongsian kisah kejayaan.

Persekitaran ini mengukuhkan imej negara sebagai destinasi pelaburan berdaya saing, serta menyumbang secara mampan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan peningkatan kapasiti pengeluaran, selain membuka ruang kepada kerjasama saintifik, teknologi dan sektoral melangkaui hubungan komersial semata-mata.

Projek bersama yang dibangunkan dalam bidang kesihatan, pelancongan, tenaga, transformasi digital, pertanian dan pembinaan turut meningkatkan kuasa inovasi serta daya saing negara peserta.

Ia juga mengukuhkan nilai jenama dan persepsi kepercayaan terhadap negara, sambil menyerlahkan keupayaan pengeluaran dan kekuatan ekonomi mereka di pentas antarabangsa menerusi pavilion negara, acara promosi dan liputan media.

Antara forum yang bakal diadakan ialah Forum Perniagaan Oman, Yaman, Tunisia dan Palestin dengan penyertaan peringkat tinggi daripada negara berkenaan.

Forum perniagaan negara dan program B2B yang kini menjadi antara platform paling dinamik dalam perdagangan antarabangsa, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, perdagangan luar dan ekosistem pelaburan negara-negara peserta.

Platform ini bukan sahaja memperkukuh hubungan komersial antara syarikat, tetapi juga menguatkan diplomasi ekonomi antara negara.

Selain itu, forum perniagaan berperanan meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sambil menyokong aliran teknologi, perkhidmatan, maklumat dan pelaburan.

Melalui acara ini, wakil perniagaan, pelabur dan institusi awam berhimpun di bawah satu bumbung bagi membina asas kepada kerjasama baharu dan perkongsian jangka panjang.

Presiden Majlis Sidang Kemuncak Halal Dunia, Yunus Ete berkata forum perniagaan negara dan sesi B2B pada Sidang Kemuncak Halal Dunia ke-11 bakal menawarkan peluang besar, termasuk forum perniagaan untuk Yaman, Oman, Palestin dan Tunisia.

“Dengan kerjasama Lembaga Perhubungan Ekonomi Luar Turkiye (DEIK), Majlis Perniagaan Turkiye-Oman dan Dewan Perniagaan Oman, kami akan menganjurkan sesi pertama Forum Perniagaan Turkiye-Oman dari 26 hingga 29 Nov sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Halal Dunia.

“Kami telah mengadakan pertemuan produktif dengan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Oman, Dewan Perniagaan Oman serta pegawai lain mengenai peluang kerjasama dalam bidang pertahanan, tenaga, pelancongan, kesihatan, makanan dan logistik,” katanya.

Beliau juga berkata bahawa acara itu akan membuka potensi baharu perdagangan melalui forum perniagaan Yaman, Palestin dan Tunisia.

Sidang Kemuncak Halal Dunia tahun lalu menerima kehadiran lebih 50,000 pengunjung dengan lebih 500 peserta, lebih 50 negara penyertaan dan lebih 100 negara pelawat.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan