Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 11 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Indonesia (HLC Malindo) membahas usaha memperkukuh kerjasama termasuk mempertingkat kepercayaan melalui ketelusan dan interaksi profesional antara angkatan tentera.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata inisiatif itu bukan hanya melalui platform rasmi tetapi turut diperluas kepada saluran tidak formal di semua peringkat pemerintahan bagi meningkatkan langkah membina keyakinan dan persefahaman.
“Kedua negara jiran tetangga ini perlu menunjukkan contoh bahawa tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan sekiranya kita faham tentang ketelusan, langkah-langkah membina keyakinan dan menghormati satu sama lain,” katanya kepada media Malaysia selepas mesyuarat pada Selasa.
Mohd Nizam turut menegaskan kepercayaan serta ketelusan antara kedua-dua negara amat penting dalam suasana geopolitik dan peredaran maklumat masa kini bagi mengelak sebarang polemik kecil daripada diperbesarkan melalui media sosial yang berpotensi mencetuskan salah faham.
HLC Malindo ke-18 yang berlangsung dua tahun sekali turut membincangkan latihan bersama, keselamatan sempadan serta kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dan Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri), termasuk cadangan kerjasama empat penjuru melibatkan ATM, Tentara Nasional Indonesia (TNI), PDRM dan Polri.
Mesyuarat turut menekankan kepentingan pembangunan seimbang di kawasan sempadan di kedua-dua negara seperti Sarawak-Kalimantan dan Johor-Riau bagi mewujudkan situasi lebih sejahtera dan kondusif melalui kelompok kerja sosioekonomi.
Menyentuh perkembangan geopolitik, beliau berkata perkara itu tidak dibincangkan secara langsung namun kedua-dua pihak berpegang kepada prinsip bahawa sebarang permasalahan serantau perlu diselesaikan dalam kerangka Kepusatan ASEAN.
Beliau percaya aspek ketelusan melalui pelbagai platform kerjasama sedia ada mampu mengurangkan rasa curiga sekali gus dapat mencegah berlakunya perselisihan dan mengukuhkan persefahaman.
“ATM dan TNI perlu terus saling membantu, saling memperingatkan dan yang paling penting, mempertingkat kerjasama dua hala bagi memastikan kestabilan rantau ini dan kesejahteraan rakyat kedua negara kekal terpelihara,” kata Mohd Nizam.
Beliau mempengerusikan mesyuarat itu buat pertama kali bersama Panglima TNI Jeneral Agus Subiyanto.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial