DUNIA > BERITA

PAVILION MALAYSIA DI COP30 PAMER PERANAN AKTIF NEGARA DALAM TINDAKAN IKLIM GLOBAL

12/11/2025 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia pada Rabu melancarkan Pavilionnya di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) di Belem, Brazil sekali gus menegaskan semula komitmennya untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 serta memajukan tindakan iklim global.

Dengan tema “Climate Action Now: Net Zero Pathways Unlocked”, Pavilion itu mempamerkan pendekatan seluruh negara dan perjalanan berterusan Malaysia ke arah mencapai sasaran sifar bersih, menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Pavilion Malaysia di COP30 diterajui oleh NRES dengan kerjasama agensi pelaksananya, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), serta disokong oleh rakan kongsi utama negara termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Maybank.

Pavilion itu menghimpunkan pihak berkepentingan utama di peringkat nasional dan antarabangsa termasuk TNB, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDSN), Amanah Lestari Alam (ALAM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Air Selangor dan Bank Dunia.

“Dengan menghimpunkan suara daripada kerajaan, industri dan masyarakat sivil, negara sedang bergerak ke hadapan ke arah sifar bersih melalui tadbir urus kukuh serta komitmen sektor swasta,” menurut NRES.

Pavilion Malaysia turut akan menjadi tuan rumah kepada beberapa siri dialog peringkat tinggi,  perbincangan panel, pelancaran laporan dan sesi kerjasama yang bertujuan memperkukuh perbincangan serantau dan global mengenai daya tahan terhadap perubahan iklim.

Antara acara utama yang diketengahkan ialah sesi bertemakan bidang tumpuan strategik Malaysia seperti Melindungi Ekosistem Kita, Adaptasi dalam Tindakan, Membiayai Masa Depan serta Ekonomi Hijau dan Biru.

COP30 berlangsung dari 10 hingga 21 Nov.

Timbalan Ketua Setiausaha NRES Datuk Nor Yahati Awang dalam kenyataan itu berkata penyertaan Malaysia di COP30 mencerminkan komitmen jelas negara terhadap tindakan iklim global.

“Kami berhasrat untuk memacu perubahan ketara dan transformasi yang mampu merealisasikan aspirasi kami untuk mencapai keneutralan karbon serta memastikan masa depan yang mampan untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan