DUNIA > BERITA

BEKAS PM DAN KETUA PERISIKAN KOREA SELATAN DITAHAN BERHUBUNG SIASATAN UNDANG-UNDANG TENTERA

12/11/2025 09:45 PM

SEOUL, 12 Nov (Bernama-Yonhap) -- Bekas Perdana Menteri Korea Selatan Hwang Kyo-ahn dan bekas Ketua Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS) Cho Tae-yong ditahan pada Rabu berhubung cubaan bekas Presiden Yoon Suk Yeol untuk melaksanakan undang-undang tentera yang gagal, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut laporan, Hwang yang pernah berkhidmat di bawah bekas Presiden Park Geun-hye membuat beberapa hantaran di Facebook selepas pengisytiharan undang-undang tentera pada 3 Disember tahun lepas menyeru agar “pasukan pro-Korea Utara dan mereka yang terbabit dalam penipuan pilihan raya dihapuskan”.

Beliau juga menggesa penahanan Speaker Perhimpunan Kebangsaan Woo Won-shik dan Ketua Parti Kuasa Rakyat ketika itu, Han Dong-hoon.

Pasukan pendakwa khas yang diketuai Cho Eun-suk yang ditugaskan menyiasat pelbagai dakwaan berkaitan cubaan pelaksanaan undang-undang tentera oleh Yoon, melaksanakan waran tahanan terhadap Hwang di kediamannya di Daerah Yongsan, Seoul selepas beliau mengabaikan tiga kali arahan untuk hadir memberi keterangan.

Pasukan siasatan itu melancarkan siasatan terhadap Hwang selepas menerima aduan daripada sebuah portal berita tempatan dan beberapa kali mencuba untuk melaksanakan waran geledah di rumahnya.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Cho Tae-yong selepas satu pendengaran pada Selasa dengan alasan terdapat kebimbangan bahawa bekas P

engarah NIS itu mungkin memusnahkan bahan bukti, menurut Yonhap.

Bekas ketua perisikan itu, yang dikenali sebagai orang kepercayaan rapat bekas Presiden Yoon, dituduh gagal melaporkan rancangan undang-undang tentera kepada Perhimpunan Kebangsaan, walaupun beliau sudah mengetahui mengenainya sebelum ucapan Yoon disiarkan di televisyen.

Cho turut dituduh tidak memaklumkan kepada Perhimpunan Kebangsaan selepas menerima laporan bahawa anggota tentera di bawah perintah undang-undang tentera merancang untuk menahan ketua pembangkang ketika itu, Lee Jae-myung, serta ketua parti pemerintah Han Dong-hoon.

Akta NIS mewajibkan pengarahnya untuk melaporkan kepada Perhimpunan Kebangsaan dan juga kepada presiden sekiranya berlaku sebarang situasi yang memberi kesan besar terhadap keselamatan negara.

-- BERNAMA-Yonhap


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan