DUNIA > BERITA

THAILAND SOKONG PEMBINAAN TEMBOK KESELAMATAN

14/11/2025 09:40 AM

NARATHIWAT, 14 Nov (Bernama) -- Polis Thailand menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan kerajaan Malaysia membina tembok keselamatan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia, khususnya di Kelantan yang disifatkan sebagai langkah paling berkesan membanteras jenayah rentas negara.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mej Jen Prayong Kotsakha berkata pembinaan tembok itu mampu mengekang pelbagai kegiatan penyeludupan dan pergerakan haram yang sering berlaku di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

“Polis Thailand khususnya di Wilayah Narathiwat menyokong penuh pelaksanaan tembok keselamatan itu kerana ia memberikan manfaat kepada kedua-dua negara daripada aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Usaha itu dapat membantu membanteras penyeludupan senjata, dadah dan barangan kawalan yang sering berlaku di sepanjang sempadan,” katanya kepada media Malaysia menerusi jurubahasa tempatan, baru-baru ini.

Beliau berkata kewujudan tembok itu juga akan meningkatkan keupayaan pihak berkuasa mengesan dan mengekang aktiviti melintas sempadan secara haram berbanding keadaan semasa.

Mengulas sensitiviti komuniti setempat, Prayong tidak menafikan sebahagian penduduk di kedua-dua belah sempadan mungkin memberikan reaksi berbeza terhadap pembinaan tembok berkenaan memandangkan ramai mempunyai hubungan persaudaraan yang rapat.

“Kami mahu penduduk di sempadan menghormati undang-undang dan menggunakan laluan yang betul untuk berulang-alik di kedua-dua negara.

“Kita tahu polis Malaysia, khususnya di Kelantan amat menitikberatkan keselamatan apabila bertindak menutup pangkalan haram yang sebelum ini digunakan penduduk untuk berulang-alik," katanya.

Beliau berkata berkemungkinan laluan berkenaan digunakan penjenayah sama ada dari Thailand atau Malaysia.

Kerjasama operasi antara polis kedua-dua negara juga akan terus diperkukuh melalui mesyuarat bersama yang diadakan secara berkala, selain memastikan pembinaan dan pengurusan tembok itu tidak menjejaskan hubungan baik komuniti setempat.

Pada 21 Okt lepas, Bernama melaporkan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi pembinaan tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata tembok keselamatan itu akan dibina di sepanjang sempadan dari Tumpat hingga ke Tanah Merah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan