DUNIA > BERITA

TANAH RUNTUH DI JAWA TENGAH RAGUT DUA NYAWA, 21 MASIH HILANG

14/11/2025 11:11 AM

JAKARTA, 14 Nov (Bernama) -- Dua orang maut manakala 21 lagi masih hilang selepas kejadian tanah runtuh melanda daerah Majenang di wilayah Cilacap, Jawa Tengah pada 8 malam Khamis waktu tempatan, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia.

Jurucakap BNPB Abdul Muhari, berkata hujan lebat mencetuskan kejadian tanah runtuh yang melanda kediaman di tiga kampung iaitu Cibeunying, Cibaduyut dan Tarakan.

“Pasukan penyelamat mengeluarkan 23 mangsa, dengan tiga daripadanya mengalami cedera ringan setakat 3 pagi Jumaat. 

“Kerugian turut membabitkan 12 rumah yang rosak, manakala 16 lagi berada dalam keadaan berisiko,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata keadaan tanah yang masih tidak stabil menyukarkan operasi, namun Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Cilacap bersama pasukan mencari dan menyelamat terus menjalankan usaha menyelamat dengan bantuan jentera berat bagi mempercepatkan pemindahan.

Agensi berkenaan turut mengingatkan penduduk serta anggota penyelamat agar berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya runtuhan susulan, ekoran ramalan hujan di Majenang dari Jumaat hingga Ahad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan