DUNIA > BERITA

ARAB SAUDI LANCAR INISIATIF "TOURISE" UNTUK TARIK PELANCONG ASIA

14/11/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Arab Saudi meningkatkan usaha untuk menarik pelawat dari pasaran utama Asia, termasuk Malaysia, Indonesia, China, Jepun, Singapura dan Thailand sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mempelbagai ekonomi dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan global.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Pelancongan Arab Saudi berkata inisiatif itu dilancarkan pada sidang kemuncak platform TOURISE yang julung kali diadakan dari 11 hingga 13 Nov di Riyadh.

Menteri Pelancongan Arab Saudi merangkap Pengerusi TOURISE Ahmed Al Khateeb berkata Arab Saudi sedang menyelaraskan usaha dengan kehendak pelancong Asia, memberi tumpuan kepada pasaran strategik seperti China, Jepun, Singapura, Thailand, Indonesia dan Malaysia dengan melibatkan ejen pelancongan, meningkatkan hubungan udara, memudahkan mobiliti, serta memperluas pilihan penginapan kategori pertengahan.

Beliau berkata masa penganjuran sidang kemuncak itu amat sesuai untuk menyatukan sektor pelancongan dan menentukan hala tuju masa depan industri pelancongan global.

Beliau turut menegaskan yang walaupun industri pelancongan pulih ke paras bersejarah dari segi ketibaan pelancong dan pelaburan, ia kini berdepan cabaran luar biasa dan peluang baharu, termasuk perubahan teknologi yang pesat serta perubahan generasi ke arah trend pelancongan lestari dan berasaskan pengalaman.

Al-Khateeb juga menekankan keperluan meningkatkan ketahanan terhadap ketidaktentuan ekonomi, alam sekitar dan perpecahan global.

Sidang kemuncak itu, yang berlangsung selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) ke-50, menghimpunkan menteri, pemimpin perniagaan dan inovator dari seluruh dunia bagi mempercepat evolusi sektor pelancongan ke arah lebih berhubung, lestari dan berasaskan teknologi.

Disokong oleh Kementerian Pelancongan Arab Saudi, TOURISE dijangka kekal sebagai platform tetap bagi meneruskan dialog merentas sektor dan kerjasama sepanjang tahun untuk mengubah idea berani menjadi penyelesaian praktikal bagi industri pelancongan global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan