KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Yayasan Restu melalui inisiatif Ops Ihsan akan membangunkan sebuah pusat penyalinan al‑Quran dan seni Islam di Bandar Gaza bagi membantu membina semula Gaza melalui acuan Palestin berteraskan ilmu, seni dan budaya.
Pengerusi Ops Ihsan Jismi Johari berkata projek dengan kerjasama Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Muslim Care Malaysia dan Haluan akan dibiayai melalui sumbangan wakaf daripada orang ramai dengan anggaran kos keseluruhan bernilai RM10 juta.
“RM10 juta adalah aggaran keseluruhan kos bagi pembinaan bangunan, kos pendidikan dan latihan untuk penyalin dan penyediaan bahan dan lain-lain manakala kursus penulisan seni khat dan penyalinan al-Quran akan dimulakan sebaik sahaja kami mendapat tempat yang sesuai di Bandar Gaza.
“Projek ini juga bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Gaza dan membina satu pusat yang menawarkan pelbagai kemudahan seperti kelas, kursus dan perpustakaan sekali gus membantu konservasi seni dan budaya Palestin,” kata Jismi yang juga Presiden MAHAR dalan kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau projek itu bukan sekadar bangunan biasa tetapi merupakan lambang kekuatan iman dan bukti bahawa pembinaan semula Gaza mesti bermula dari hati dan kebudayaan mereka sendiri.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Abdul Latif Mirasa berkata pada peringkat awal, sebanyak 100,000 naskhah al‑Quran akan diterbitkan oleh Nasyrul Quran, di Putrajaya untuk dihantar ke Gaza.
“Inilah cara kita terus berdiri bersama Gaza, bukan hanya dalam misi bantuan, tetapi dalam membangunkan asas pembelajaran dan seni untuk generasi akan datang.
“Kami juga mengalu-alukan kolaborasi dan sokongan daripada organisasi dan orang ramai untuk menjayakan projek ini,” katanya.
Pembinaan pusat penyalinan al-Quran di Gaza itu juga diusahakan bersama seorang penduduk Gaza, Abdul Rahman yang pernah belajar di Kolej Restu, Shah Alam dalam bidang penyalinan al-Quran yang kini berada di sana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial