Daripada Rozlin Rusharmeen Rosmin
PONTIANAK (Indonesia), 14 Nov (Bernama) -- Komuniti media dari Sarawak memainkan peranan penting dalam melonjakkan sektor pelancongan di Kalimantan Barat, Indonesia menerusi kerjasama promosi dua hala Malaysia-Indonesia, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pembangunan industri pelancongan rentas sempadan.
Sekretaris Daerah Provinsi Kalimantan Barat Harisson berkata kehadiran delegasi media Sarawak dalam lawatan pengenalan di wilayah itu mencerminkan komitmen bersama dalam merancakkan industri pelancongan antara kedua-dua wilayah, khususnya selepas pembukaan semula laluan penerbangan terus Kuching-Pontianak oleh syarikat penerbangan AirAsia.
“Kami amat menghargai peranan komuniti media dari Sarawak kerana mereka adalah jambatan penghubung yang mampu memperkenalkan juadah, budaya dan destinasi menarik Kalimantan Barat kepada saudara-saudara di Sarawak.
"Semakin banyak informasi yang dikongsikan, semakin besar peluang untuk menarik pelancong,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat delegasi media Sarawak di Pejabat Gabenor Kalimantan Barat, di sini hari ini.
Beliau berkata usaha promosi oleh pengamal media termasuk pempengaruh dan pencipta kandungan digital dari Bumi Kenyalang berpotensi memperluas akses masyarakat Malaysia kepada maklumat mengenai keunikan budaya, warisan dan produk pelancongan di Pontianak serta Singkawang.
Sebanyak 14 pengamal media dari Sarawak berada di Kalimantan Barat selama lima hari empat malam bermula hari ini menerusi program anjuran Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching dengan kerjasama AirAsia, melibatkan penyertaan wartawan, jurufoto, pempengaruh serta pencipta kandungan digital tempatan.
Sementara itu, Ketua Pejabat Pemuda, Olahraga dan Pelancongan Kalimantan Barat Windy Prihastari berkata pihaknya optimis lawatan itu mampu meningkatkan persefahaman dua hala dalam konteks pelancongan.
Beliau berkata ia turut membuka peluang baharu untuk kerjasama lebih strategik melalui platform seperti Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO).
"Memahami kepentingan dan trend promosi secara digital atau dalam talian, kita juga bekerjasama dengan seluruh pemegang taruh yang ada di Kalimantan Barat untuk bersama-sama mempromosikan secara digital dan membuat platform digital yang kami namakan Pusat Penerangan Pelancongan Elektronik," katanya.
Beliau berkata penggunaan platform digital seperti TikTok, Instagram dan YouTube oleh golongan media dan pencipta kandungan Sarawak mampu memperluas capaian promosi destinasi Kalimantan Barat khususnya kepada generasi muda di Malaysia.
Sepanjang program berkenaan, delegasi media dari Sarawak itu dijadual melawat beberapa lokasi popular pelancongan di Pontianak termasuk Tugu Khatulistiwa, rumah tradisional Dayak dan Melayu, selain menikmati sajian tempatan seperti bakso telur ikan asin, pencuci mulut “ce hun tiaw” dan kopi tradisional.
Di Singkawang pula, delegasi berpeluang meneroka pelbagai tarikan budaya termasuk Rumah Warisan Tjhia, Pantai Samudra serta kawasan penempatan etnik yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Melayu, Dayak dan Cina di wilayah itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial