DUNIA > BERITA

EKSPEDISI RALEIGH BENTUK BAKAT MUDA MALAYSIA

02/12/2025 04:52 PM

Oleh Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Ketika rakan sebayanya bersiap memulakan kehidupan universiti pada 2008, Yap Lu Ying pula menggalas beg dan melangkah masuk ke hutan, menuju ke sebuah penempatan tanpa jalan raya, tanpa liputan telefon dan tanpa jaminan keselesaan.

Pada usia hanya 19 tahun, gadis bandar itu menyertai Ekspedisi Raleigh Borneo dan menghabiskan masa di Kampung Buayan, Sabah. 

Untuk sampai ke kampung berkenaan, beliau perlu mendaki selama dua jam, laluan yang sama dilalui penduduk kampung serta pelajar  setiap hari untuk ke sekolah atau ke pekan.

Sepanjang ekspedisi 10 minggu di Borneo, Yap menyempurnakan tiga fasa iaitu pengembaraan, khidmat komuniti dan kerja-kerja alam sekitar, suatu pengalaman yang membuka minda dengan cara yang tidak boleh dipelajari melalui bilik darjah.

“Sebagai anak bandar, saya tidak menjangkakan wujud tempat yang kemudahan begitu berbeza daripada apa yang saya biasa nikmati. 

"Kampung itu hanya mempunyai sebuah tadika dan sekolah rendah. Tiada liputan telefon atau bekalan elektrik. Perkara yang saya anggap biasa rupa-rupanya tidak wujud di sana,” katanya kepada Bernama.

Yap, kini berusia 36 tahun dan memegang jawatan Presiden Raleigh Kuala Lumpur, berkata pengalaman awal itu terus membentuk cara beliau memimpin generasi baharu hari ini.

“Raleigh mengubah cara saya berfikir. Ia mengajar saya pemikiran penyelesaian dan daya tahan, kemahiran yang saya gunapakai dalam keusahawanan dan kepimpinan hari ini. Kini tiba masanya untuk saya kongsikan semula kepada orang lain,” katanya.

Menurutnya, Raleigh bukan sekadar aktiviti merentas hutan atau sukarelawan, tetapi   mempelajari cara memimpin, mendengar, menyesuaikan diri dan empati.

Beliau yang juga pengasas PlayXplore Group, sebuah studio usaha digital berpusat di Thailand yang memberi tumpuan kepada teknologi iklan, pelancongan dan platform berasaskan basikal berkata nilai Raleigh bukan terletak pada ketahanan fizikal semata-mata, tetapi pendedahan awal kepada realiti dunia pekerjaan.

“Ia merangkumi pengurusan projek dan pengumpulan dana, selain mempelajari cara berkomunikasi dengan individu daripada budaya dan latar belakang berbeza. Ia juga melatih kemahiran menyelesaikan masalah, khususnya apabila sumber amat terhad,” jelasnya.

Pada 2012, Yap kembali menyertai Raleigh, kali ini untuk ekspedisi 10 minggu di Costa Rica dan Nicaragua. 

Demi merealisasikan penyertaan itu, beliau mengumpul dana selama tiga tahun kerana kos ekspedisi luar negara jauh lebih tinggi berbanding penyertaan di Borneo.

Tekad untuk terus berkembang, Yap mengambil peranan kepimpinan, menyuarakan idea dan keluar daripada zon selesa. 

Usaha itu membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai Peserta Wanita Terbaik pada penghujung ekspedisi.

“Ia mendorong saya mencuba perkara baharu tanpa takut gagal. Asalkan kita mencuba, pasti ada sesuatu yang kita peroleh,” katanya.

Ketua THE LEMON SHOT Xplore — rakan penyelesaian pemasaran rentas sempadan berasaskan kandungan, pencipta dan AI terkemuka di Thailand — Yap menggambarkan Raleigh sebagai satu bentuk perubahan dalan kehidupan.

“Melihat cara mereka hidup membuatkan saya menilai semula segalanya. Saya berhenti mengejar hierarki korporat dan memberi tumpuan pada pengalaman hidup. Kebahagiaan lebih penting daripada wang,” katanya.

Perjalanan Yap mencerminkan pola lebih luas dalam kalangan alumni Raleigh merentas generasi.

Bagi peserta baharu seperti Arwena Padme Parameswaran yang menyertai ekspedisi Borneo tahun ini, Raleigh menawarkan ruang jeda daripada dunia yang sentiasa terhubung.

“Saya menemui ketenangan di dalam hutan. Ia seperti dilahirkan semula,” katanya, sambil menambah bahawa program itu mengajarnya sifat sabar dan bekerja secara berkumpulan, bukan memikul beban sendirian.

Bagi membuka peluang kepada lebih ramai anak muda merasai pengalaman itu, Raleigh Kuala Lumpur akan menganjurkan Sesi Pengenalan Hujung Minggu di Hulu Langat, Selangor dari 6 hingga 7 Dis untuk belia berusia 17 hingga 24 tahun.

Peserta akan menyertai cabaran mendaki berpasukan, latihan asas pertolongan cemas, simulasi kepimpinan, kemahiran asas perkhemahan dan asas hidup di luar, merasai suasana pra-eks­pedisi, serta mendengar perkongsian daripada alumni Raleigh.

“Bagi mereka yang menyertai, ia bukan sekadar hujung minggu di luar, tetapi langkah pertama menuju dunia yang lebih luas,” kata Yap.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan