RIYADH, 2 Dis (Bernama-Xinhua) -- Persidangan Antarabangsa mengenai Kecemasan Nuklear dan Radiologi bermula di sini pada Isnin dengan tumpuan terhadap usaha meningkatkan kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan, lapor Xinhua.
Program empat hari itu dianjurkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dengan kerjasama Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear dan Radiologi Arab Saudi (NRRC), menghimpunkan lebih 450 peserta dari lebih 100 negara serta empat organisasi antarabangsa.
Pakar, anggota tindak balas kecemasan, pengawal selia dan pakar teknikal akan berkongsi pengalaman, membentangkan penyelidikan baharu serta membincangkan langkah praktikal untuk mengukuhkan kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan nuklear serta radiologi di peringkat global.
“Nuklear bergantung kepada kepercayaan, dan kepercayaan itu dibina melalui kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan yang kukuh dan berasaskan sains.
"Keselamatan dan kesiapsiagaan mesti berada di hadapan, ia perlu diyakini serta telus,” kata Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi dalam mesej video.
“Kita memperkukuh daya tahan global melalui integrasi teknologi baharu, pertukaran pengalaman praktikal dan kerjasama lebih erat dengan IAEA serta rakan antarabangsa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NRRC, Khalid Aleissa yang juga presiden persidangan.
Persidangan itu merangkumi sesi pleno, syarahan utama dan meja bulat yang membincangkan pelbagai topik kerjasama antarabangsa, termasuk penggunaan AI dalam tindak balas kecemasan, latihan kesiapsiagaan, serta perancangan reaktor mudah alih dan terapung.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial