DUNIA > BERITA

HARGA BERAS KEKAL RENDAH HINGGA 2026 AKIBAT LAMBAKAN - IREF

02/12/2025 05:51 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 2 Dis (Bernama) -- India, pengeluar dan pengeksport beras terbesar dunia, memberi amaran bahawa harga beras dijangka kekal rendah sehingga akhir tahun ini dan sepanjang 2026 ekoran lambakan bekalan.

Selain itu, corak cuaca tidak menentu di Asia Tenggara dijangka menjejaskan pengeluaran.

Pasaran beras Asia Tenggara berdepan turun naik apabila dua pengeluar utama dunia - Vietnam dan Thailand - mengalami keadaan cuaca tidak menentu sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga boleh mengekang pengeluaran.

Persekutuan Pengeksport Beras India (IREF) berkata sebarang pengurangan pengeluaran di kedua-dua negara pengeksport Asia Tenggara itu boleh mempengaruhi pasaran beras global, sekurang-kurangnya untuk tempoh sementara.

“Harga global dijangka kekal rendah sepanjang 2025 dan memasuki 2026. Selepas tiga tahun turun naik ketara, pasaran kini berdepan lambakan (541 juta tan metrik dihasilkan pada 2024), sekali gus menekan harga,” kata Presiden Kebangsaan IREF Dr Prem Garg kepada Bernama dari New Delhi.

Pasaran beras antarabangsa kini mencatat antara harga terendah dalam tempoh hampir sedekad, dengan kadar susut 35 peratus dalam setahun sejak India menarik balik larangan eksport beras bukan basmati, menurut Coface yang berpangkalan di Perancis, sebuah syarikat pengurusan risiko kredit perdagangan global.

Harga kini sekitar US$360 (RM1,488) satu tan metrik di pasaran.

Pasaran beras serantau turut dibebani pelbagai cabaran tahun ini.

Vietnam dan Thailand, yang masing-masing mengeksport sekitar lapan juta tan metrik beras setahun, kini berdepan hujan lebat, banjir dan tanah runtuh yang merosakkan sebahagian sawah mereka.

Keadaan ini dijangka menjejaskan eksport beras dalam bulan-bulan akan datang.

Dua pengimport utama, Indonesia dan Filipina, turut melaksanakan larangan sementara import beras bagi melindungi pasaran domestik mereka.

“Cuaca buruk (banjir, hujan tidak menentu dan kemasukan air masin) di Asia Tenggara, khususnya di negara pengeluar utama seperti Thailand dan Vietnam, boleh menjejaskan bekalan beras global, sekali gus mempengaruhi harga global.

“Namun kesan bersihnya bergantung pada sejauh mana kerugian berkaitan cuaca berbanding pengeluaran di tempat lain (contohnya dari India) dan permintaan global.

“Larangan import sementara ini mengurangkan permintaan import dalam jangka terdekat dan boleh menstabilkan tekanan penurunan harga global, tetapi tidak mampu membalikkan kelemahan harga yang didorong lebihan bekalan,” kata Garg, yang juga Pengerusi Kumpulan Shri Lal Mahal berusia 118 tahun.

India dijangka mengeksport 24 hingga 25 juta tan metrik beras dalam tempoh 2025-26, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan