DUNIA > BERITA

POPULASI BURUNG JENJANG SARUS MEROSOT, USAHA PEMULIHARAAN DIPERGIAT

07/12/2025 02:05 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 7 Dis (Bernama) -- Penyokong pemuliharaan antarabangsa menyeru usaha bersama bagi melindungi populasi Burung Jenjang Sarus yang terancam – burung terbang tertinggi di dunia – yang menghadapi pelbagai ancaman untuk kelangsungan hidupnya.

Dari tanah lembap dan dataran Kemboja hingga ke wilayah pesisir Ayeyarwady di Myanmar serta kawasan berceranggah di Lumbini, Nepal, spesies ini terus berjuang untuk terus hidup dalam menghadapi ancaman berpunca daripada manusia.

Keracunan, kejutan elektrik kabel kuasa, pengambilan telur secara haram, konflik dengan petani, degradasi tanah lembap dan perubahan iklim antara ancaman terhadap kelangsungan Burung Jenjang Sarus di Asia Tenggara dan Asia Selatan, kawasan utama pembiakannya.

Ketua Pengarah Direktorat Am Kawasan Lindungan Semula Jadi Kemboja Srey Sunleang berkata usaha melindungi Burung Jenjang Sarus bukan hanya tentang memulihara satu spesies, tetapi turut berkaitan melindungi tanah lembap dan landskap hutan yang menjadi sumber kehidupan komuniti.

“Di Lembangan Mekong Bawah, Burung Jenjang Sarus mempamerkan corak tingkah laku unik yang membezakannya daripada semua populasi lain. Memulihara spesies ini memerlukan kerjasama nasional dan serantau yang kukuh,” kata Sunleang.

Burung jenjang ini mempunyai ciri menarik, termasuk tompok merah yang jelas pada lehernya yang berbeza dengan bulu kekelabu-kelabuan serta kaki merah jambunya.

Ia boleh membesar sehingga 1.8 meter tinggi dan mempunyai berat kira-kira 12 kilogram.

Ketika proses mengawan, pasangan Burung Jenjang Sarus menari di padang dan bunyi mereka sangat unik.

Di sebalik daya tarikan estetiknya, spesies ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan ekosistem pertanian serta kelestarian tanah lembap.

Pada Simposium Burung Jenjang Sarus selama dua hari di Phnom Penh minggu lalu, pakar – termasuk renjer, penyokong pemuliharaan,  ahli ornitologi dan pembuat dasar – membincangkan pendekatan untuk melindungi spesies ini yang populasinya merosot dengan ketara sejak beberapa tahun lalu.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menyenaraikan Burung Jenjang Sarus sebagai spesies “terancam”, dengan populasi yang terus berkurangan. Di seluruh dunia, hanya 15,000 hingga 17,500 burung dewasa masih wujud.

Burung Jenjang Sarus Timur (antigone antigone sharpii) ditemui di Kemboja, Vietnam dan Myanmar.

Ahli Zoologi Tribhuvan University di Nepal Dikpal Krishna Karmacharya berkata banyak aktiviti peringkat akar umbi sedang dijalankan untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan burung ini.

“Kami menjalankan banyak kempen kesedaran dengan melibatkan golongan belia di sekolah dan dalam kalangan petani. Kami turut memasukkan unsur keagamaan Buddha bagi membantu penduduk kampung memahami kepentingan Burung Jenjang Sarus.

“Kami bimbang mengenai kadar kematian burung dewasa akibat kejutan elektrik dan perlanggaran dengan kabel yang mengakibatkan kematian kira-kira enam hingga lapan ekor burung dewasa setahun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata 47 kematian direkodkan antara 2010 dan 2023 akibat kejutan elektrik dan perlanggaran kabel elektrik di Nepal.

Di Delta Sungai Ayeyarwady, kawasan jelapang padi terkenal Myanmar, Burung Jenjang Sarus menjadikan sawah padi dan tanah lembap sebagai habitat selesa untuk bersarang.

Namun perubahan iklim kini menjadi musuh terbaharu Burung Jenjang Sarus, mengancam untuk menjejaskan pertumbuhan populasi mereka.

“Perubahan iklim merupakan ancaman kritikal kepada spesies ini, dan disebabkan kadar kematian burung dewasa yang tinggi, bilangannya semakin merosot.

“Pembiakan mereka terjejas, sarang burung itu dimusnahkan oleh banjir dan kekurangan makanan antara kesan utama. Kini terdapat kira-kira 400 burung di enam kawasan perbandaran yang sedang kami pantau,” kata ahli biologi International Crane Foundation of Myanmar Dr Myo Sansar Winn kepada Bernama di luar sesi forum.

Bancian terkini bagi 2024-2025 merekodkan sedikit pemulihan dengan 214 burung dewasa diperhatikan di Kemboja dan Vietnam.

Sunleang berkata burung jenjang di seluruh dunia merupakan antara burung paling luar biasa dan mempunyai kepentingan budaya yang mendalam.

“Jangka hayat yang panjang, ikatan pasangan yang kukuh dan kebergantungan bersama terhadap tanah lembap menyumbang kepada hubungan istimewa yang wujud antara manusia dan burung jenjang.

“Burung Jenjang Sarus turut merupakan spesies yang sangat simbolik di seluruh kawasan taburannya,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan