TOKYO, 9 Dis (Bernama-Kyodo) -- Gempa bumi kuat dengan magnitud awal 7.5 melanda timur laut Jepun lewat malam Isnin, dan agensi cuaca mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai Hokkaido serta wilayah Aomori dan Iwate sebelum menariknya semula beberapa jam kemudian.
Agensi Meteorologi Jepun berkata gempa yang berlaku pada 11.15 malam itu berpusat di luar pantai Pasifik Aomori pada kedalaman 54 kilometer, meningkatkan kemungkinan berlakunya gempa bumi bermagnitud sama atau lebih besar melanda kawasan itu dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Ini merupakan kali pertama agensi itu mengeluarkan amaran sedemikian untuk kawasan pantai Hokkaido dan pantai Sanriku, yang meliputi Aomori hingga Iwate dan Miyagi.
Pejabat Kabinet Jepun menyeru orang ramai supaya kekal berjaga-jaga sekurang-kurangnya seminggu, antaranya dengan memastikan kit bekalan kecemasan sentiasa mudah dicapai agar mereka boleh berpindah pada bila-bila masa jika perlu.
Gempa berlaku di kawasan sepanjang palung di luar pantai Hokkaido dan timur laut Jepun, apabila kerajaan memberi amaran mengenai gempa besar akibat pergerakan plat Pasifik yang menyusup ke bawah pulau utama Honshu, menurut agensi itu.
Gempa mega bermagnitud 9.0 pada 2011, yang meragut hampir 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 2,500 hilang serta mencetuskan bencana nuklear Fukushima, juga berlaku di luar pantai timur laut negara itu.
Agensi tersebut, yang menyemak magnitud daripada laporan awal 7.2 kepada 7.5, memberi amaran tsunami setinggi sehingga 3 meter selepas gempa berkenaan.
Tsunami tertinggi yang dicatatkan ialah kira-kira 70 sentimeter di Iwate.
Tiga jam setengah selepas gempa melanda, amaran tsunami diturunkan kepada nasihat keselamatan. Pada 6.20 pagi Selasa, nasihat itu ditarik balik sepenuhnya.
Gempa itu mencatatkan intensiti enam atas pada skala intensiti seismik Jepun tujuh mata di beberapa kawasan di Aomori. Gegaran turut dirasai di pusat bandar Tokyo.
Amaran khas agensi cuaca mengenai kemungkinan gempa kuat di sepanjang palung di luar pantai Pasifik timur laut Jepun dikeluarkan selepas satu gempa, apabila analisis mendapati ia mempunyai magnitud 7.0 atau lebih.
Agensi menilai terdapat kemungkinan satu dalam 100 bahawa gempa magnitud 8 atau lebih besar boleh berlaku dalam tempoh tujuh hari.
Bagaimanapun, apabila amaran sedemikian berkuat kuasa, pihak berkuasa tidak mengarahkan orang ramai membuat persiapan untuk berpindah.
Perdana Menteri Sanae Takaichi, ketika bercakap kepada media di pejabatnya, menggesa orang ramai mengikuti maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang minggu ini dan bersedia melarikan diri sebaik sahaja merasakan gegaran.
Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara dan Menteri Pertahanan Shinjiro Koizumi masing-masing memaklumkan pemberita mengenai tindakan menyeluruh kerajaan terhadap gempa itu, sambil menegaskan usaha menyelamat menjadi keutamaan.
Di Aomori dan Hokkaido, lebih 10 kecederaan dilaporkan, termasuk sekurang-kurangnya satu kes serius di Hidaka, Hokkaido, dengan tiada kematian setakat ini.
Kerajaan wilayah Aomori berkata kira-kira 2,700 rumah terputus bekalan elektrik.
Tiada keabnormalan dilaporkan di loji tenaga nuklear di Hokkaido atau wilayah timur laut Aomori, Miyagi dan Fukushima.
Kerajaan juga mengesahkan tiada keabnormalan di loji pemprosesan semula bahan api nuklear di Rokkasho, sebuah perkampungan berhampiran pantai Pasifik di Aomori.
Perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen dihentikan antara stesen Fukushima dan Shin-Aomori, menurut operator JR East.
Sebuah kereta api laju membawa 94 penumpang turut terkandas seketika di Aomori.
Penduduk yang dikejutkan oleh gempa lewat malam itu menggambarkan ketakutan yang dialami ketika mencari tempat selamat dalam suhu bawah sifar.
“Saya sedang tidur apabila gegaran bermula seperti ditolak kuat dari bawah. Selepas itu, gegaran berterusan secara menegak dan mendatar untuk tempoh yang lama,” kata seorang lelaki berusia 40-an di Hachinohe, wilayah Aomori.
Seorang wanita berusia 75 tahun di Kamaishi, wilayah Iwate, berkata beliau sedang bersiap untuk tidur ketika gempa berlaku. Beliau berlindung di kawasan tinggi dalam sebuah kereta dipandu anak perempuannya.
“Saya teragak-agak sama ada perlu keluar. Saya takut jika beruang muncul, suami saya perlukan penjagaan, dan kami ada seekor kucing,” katanya.
Kawasan pesisir di Aomori dan Iwate merekodkan suhu di bawah 5°C lewat malam Isnin. Seorang pekerja majlis berusia 27 tahun di Kuji, wilayah Iwate, menceritakan terdapat lapisan ais pada cermin depan kereta yang dipandunya untuk berpindah, menunjukkan suhu yang amat sejuk.
Biro Kyodo News di Hakodate, Hokkaido, turut berselerak selepas gempa, dengan rak keluli tumbang dan fail bertaburan di lantai.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial