KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kewartawanan kekal penting dalam memastikan pihak berkuasa dipertanggungjawabkan, ketika Malaysia mengemudikan ASEAN melalui satu tempoh yang penting dan mencabar selaku pengerusi blok serantau itu pada 2025, kata wartawan dan penyiar antarabangsa, Ali Aslan.
Beliau berkata media yang kukuh dan bebas adalah sangat diperlukan bagi memastikan tadbir urus telus dan kestabilan serantau, terutama ketika Asia Tenggara berdepan kedinamikan geopolitik yang berubah, ancaman maklumat salah serta peningkatan penelitian awam terhadap institusi.
“Kewartawanan kekal penting dalam memastikan pihak berkuasa dipertanggungjawabkan. Media yang bebas, bertanggungjawab dan berdaya tahan bukan satu kemewahan, ia adalah prasyarat bagi mana-mana masyarakat yang berhasrat menjadi demokratik, terangkum dan stabil,” katanya dalam program “Bernama World” yang dikendalikan Jessy Chahal di Bernama TV pada Selasa.
Aslan, yang mempunyai lebih 25 tahun pengalaman di rangkaian berita global termasuk CNN dan ABC News, berkata kepimpinan Malaysia dalam ASEAN tahun ini hadir pada ketika kepercayaan terhadap institusi berada di bawah tekanan, sambil menambah bahawa kewartawanan berwibawa memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara pembuat dasar dan masyarakat.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah menunjukkan bahawa ketelusan dan dialog berinformasi adalah penting untuk mengekalkan perpaduan serantau. Kewartawanan yang baik akhirnya mengukuhkan kerajaan dengan memupuk akauntabiliti dan keyakinan awam,” katanya.
Kepengerusian Malaysia memberi tumpuan kepada memperkukuh perpaduan ASEAN, memajukan integrasi ekonomi dan menangani keutamaan bersama seperti transformasi digital, daya tahan iklim, keterjaminan makanan serta usaha mengekalkan kestabilan serantau di tengah-tengah persaingan kuasa besar.
Beliau berkata Malaysia turut menggunakan kepengerusiannya untuk menggalakkan kerjasama lebih rapat antara pembuat dasar, masyarakat sivil dan organisasi media, dengan menyedari bahawa tadbir urus inklusif adalah penyumbang penting kepada kerelevanan jangka panjang ASEAN.
Aslan menegaskan bahawa kerjasama berterusan antara media dan komuniti dasar di rantau ini akan menjadi faktor penting dalam menangani cabaran rentas sempadan serta membina ruang awam yang lebih berinformasi.
“Kebebasan media, apabila digandingkan dengan profesionalisme dan tanggungjawab etika, memastikan rakyat kekal dimaklumkan dan pemimpin terus dipertanggungjawabkan. Ini adalah asas kepada kredibiliti ASEAN pada masa hadapan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial