DUNIA > BERITA

ICRC SERU PEMATUHAN UNDANG-UNDANG KEMANUSIAAN ANTARABANGSA DI SEMPADAN THAI-KEMBOJA

10/12/2025 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyeru semua pihak berkaitan situasi di sempadan Thai-Kemboja supaya mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Sambil menyeru supaya bertenang dan mengelakkan peningkatan ketegangan, ICRC berkata kewajipan itu bertujuan mengehadkan kemudaratan kepada penduduk, khususnya mengelakkan kehilangan nyawa orang awam dan kerosakan terhadap harta benda awam termasuk infrastruktur penting.

“Mereka yang cedera mesti dibenarkan mendapatkan rawatan yang diperlukan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

ICRC berkata pihaknya akan meneruskan dialog sulit  dengan kedua-dua pihak sambil memantau rapat kesan kemanusiaan akibat pertempuran yang berterusan.

“Kami bersedia menyokong Persatuan Palang Merah Kebangsaan dan agensi kerajaan berkaitan dalam menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Seruan supaya mengurangkan ketegangan itu dibuat susulan laporan mengenai pertempuran tentera yang tercetus semula. Menurut laporan media antarabangsa, Thailand pada Isnin melancarkan serangan udara di sepanjang sempadannya dengan Kemboja selepas pertempuran baharu tercetus.

Serangan udara ke atas kedudukan tentera Kemboja itu dipercayai dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap serangan awal pagi yang mengakibatkan korban di pihak Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan