EKONOMI > BERITA

INDEKS HARGA PENGELUAR MEREDA KEPADA 0.3 PERATUS PADA OGOS 2024 - PERANGKAAN

26/09/2024 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, mereda kepada 0.3 peratus pada Ogos 2024 berbanding 1.3 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan IHPR Pengeluaran Tempatan Ogos 2024 hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata angka itu adalah kadar terendah dicatatkan sejak Februari 2024, didorong terutamanya oleh harga komoditi yang rendah.

Beliau berkata semua sektor IHPR Pengeluaran Tempatan terus meningkat pada Ogos 2024, kecuali perlombongan.

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.7 peratus daripada tahun sebelumnya (Julai 2024 : 3.4 peratus) dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatat peningkatan 6.3 peratus.

Selain itu, katanya, sektor pembuatan meningkat 1.0 peratus (Julai 2024 : 0.9 peratus) disumbangkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (5.8 peratus) dan pembuatan produk makanan (2.3 peratus).

“Indeks bekalan air sertan bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat sebanyak 8.0 peratus dan 1.0 peratus. Bagaimanapun, sektor perlombongan turun 8.3 peratus berbanding peningkatan 2.2 peratus pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh pengekstrakan gas asli (-10.1 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-7.8 peratus),” katanya.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Uzir berkata pada asas bulanan, IHPR Tempatan terus susut sebanyak 0.9 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: -0.2 peratus), didorong oleh sektor perlombongan yang turun 6.8 peratus (Julai 2024: 0.7 peratus) yang dipengaruhi oleh kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-9.1 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (-6.1 peratus).

Menurutnya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan susut sebanyak 2.7 peratus (Julai 2024 : 1.1 peratus) dengan indeks penanaman tanaman kekal turun 2.9 peratus.

Pada masa sama, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan terus berkurangan 0.2 peratus (Julai 2024: -0.3 peratus) susulan indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis yang mencatat penurunan 1.6 peratus dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-0.4 peratus).

“Sektor bekalan air turun 0.8 peratus (Julai 2024: 0.8 peratus) namun indeks bekalan elektrik dan gas meningkat sebanyak 0.6 peratus (Julai 2024: -0.8 peratus),” katanya.

Menyentuh negara-negara lain, beliau berkata IHPR Amerika Syarikat meningkat sebanyak 1.7 peratus pada bulan ini yang lebih perlahan daripada peningkatan 2.1 peratus pada Julai 2024.

IHPR Jepun terus meningkat 2.5 peratus berbanding peningkatan 3.0 peratus pada Julai 2024, didorong oleh indeks minuman dan makanan, bahan kimia dan jentera elektrik.

“Harga kilang untuk barangan buatan United Kingdom juga meningkat 0.2 peratus, lebih perlahan daripada 0.8 peratus pada bulan sebelumnya.

“Di China, IHPR turun 1.8 peratus pada Ogos 2024, penurunan lebih besar berbanding penyusutan 0.8 peratus pada bulan sebelumnya disebabkan oleh kelemahan permintaan domestik dan trend penurunan beberapa harga komoditi global,” katanya.

Menyentuh harga komoditi Malaysia, Mohd Uzir berkata pasaran minyak dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat, dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti jangkaan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat serta ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Selain itu, harga minyak sawit mentah (MSM) untuk pasaran tempatan turun pada Ogos 2024 berikutan peningkatan pengeluaran buah tandan segar dan MSM, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan