EKONOMI > BERITA

UEM SUNRISE CAPAI KADAR PENGAMBILAN PENUH UNTUK TIGA PROJEK BERNILAI RM499 JUTA

26/09/2024 03:37 PM

ISKANDAR PUTERI, 26 Sept (Bernama) -- UEM Sunrise Bhd telah mencapai kadar pengambilan 100 peratus semasa previu pembangunannya, Aspira Hills, DiReka Square dan Aspira LakeHomes yang mempunyai gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM499 juta.

Pemaju hartanah itu melalui satu kenyataan berkata pratonton Aspira Hills (fasa 1) menyaksikan kesemua 272 unit ditempah sepenuhnya dalam tempoh sehari dengan GDV RM198 juta pada Sabtu lepas (21 Sept). 

Pembangunan kediaman mesra keluarga itu memiliki empat bilik tidur yang luas termasuk tiga bilik mandi, dilengkapi dengan enam ekar taman di tengah-tengah pembangunan itu yang bertujuan memupuk semangat kemasyarakatan dan menjadikannya pilihan ideal bagi sebuah keluarga moden.

“Selain itu, previu DiReka Square (fasa empat, lima serta enam) yang terdiri daripada pejabat kedai dua dan tiga tingkat di Laman DiReka, Puteri Harbour, menyaksikan kesemua 67 unit yang ada ditempah, menyumbang kepada jumlah GDV sebanyak RM158 juta pada Ahad (22 Sept). 

“Pencapaian ini mengikuti previu Aspira LakeHomes fasa empat dan enam yang diadakan pada 20 Julai serta fasa lima pada 11 Sept, yang mana kesemua 147 unit yang ditawarkan untuk dijual telah habis sepenuhnya, menjana GDV sebanyak RM143 juta,” kata UEM Sunrise.  

Syarikat itu kekal komited bagi menzahirkan komuniti yang bertenaga dan mampan yang sejajar dengan matlamat pertumbuhan jangka panjang Malaysia, serta cita-cita Johor dalam meletakkan Iskandar Puteri sebagai pusat pertumbuhan seterusnya, seterusnya memberikan nilai kepada pihak berkepentingan dan mewujudkan impak yang berkekalan pada generasi akan datang.

“Sambutan memberangsangkan terhadap perkembangan ini menyerlahkan permintaan pasaran organik yang kukuh di rantau ini dengan bakal pembeli beratur seawal jam 2 pagi, mencerminkan keterujaan dan keyakinan mereka terhadap tawaran UEM Sunrise.

“Momentum ini adalah sejajar dengan kemajuan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Gerbang Nusajaya Interchange, kedua-duanya bersedia untuk meningkatkan perdagangan rentas sempadan, merangsang pertumbuhan ekonomi termasuk meningkatkan permintaan membabitkan hartanah kediaman dan komersial kami,” kata UEM Sunrise.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah melahirkan rasa bangga dalam sambutan luar biasa terhadap previu Aspira dan DiReka.

“Permintaan kukuh ini menyerlahkan unjuran positif Iskandar Puteri, terutamanya dengan kemajuan mantap JS-SEZ dan kedudukan strategiknya antara Johor dan Singapura. 

“Pembangunan kami terletak dengan baik berhampiran Persimpangan Gerbang Nusajaya, melonjakkan ketersambungan dengan ketara di kawasan itu selain mengurangkan tempoh perjalanan ke Pusat Pemeriksaan Tuas kepada hanya 15 minit. Apabila minat dalam pasaran hartanah Iskandar Malaysia meningkat, kami menjangkakan tarikan berterusan daripada pelabur dan pembeli rumah,” katanya.

Sufian menambah pencapaian itu menekankan kehadiran UEM Sunrise dalam pasaran hartanah Johor serta komitmen berterusan mereka untuk menyampaikan perumahan yang mampan dan berkualiti tinggi. 

“Ketika kami menghampiri Belanjawan 2025, kami menyokong dasar yang menggalakkan perumahan mampu milik, amalan bangunan hijau dan pembiayaan untuk projek mampan, yang akan menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka panjang di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan