EKONOMI > BERITA

FGV AKAN LAKSANAKAN PEMBAHARUAN, INOVASI PASTIKAN HASIL KELAPA SAWIT TIDAK TERJEJAS

26/09/2024 05:58 PM

SIK, 26 Sept (Bernama) -- FGV Holdings Bhd (FGV) akan melaksanakan pembaharuan dan inovasi dalam pengurusan ladang bagi berdepan dengan situasi perubahan iklim yang menjejaskan hasil kelapa sawit.

Pengerusinya Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata FGV dalam pada itu telah melaksanakan penyelidikan dan pembangunan bagi mencari jalan untuk memastikan hasil ladang dapat menampung keperluan dan permintaan pasaran.

“Industri sawit berdepan dengan pelbagai cabaran dan salah satu daripadanya adalah perubahan iklim yang menyebabkan hasil yang diperoleh seperti tahun-tahun terdahulu sudah berubah, misalnya kemarau panjang di ladang sebelum ini yang turut menjejaskan hasil.

“Dalam memastikan hasil terus meningkat, ia memerlukan inovasi dan pembaharuan dalam cara kita menguruskan ladang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program FGV Seikhlas Hati dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Felda Teloi Timur dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda Datuk Mohd Banuri Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Rastam berkata satu lagi cabaran dalam industri kelapa sawit adalah usaha oleh pihak-pihak di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang dilihat mungkin menjurus kepada langkah menyekat pembangunan atau pengeluaran kelapa sawit.

“Mereka keluarkan peraturan seperti Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang mana bukan hanya Malaysia dan Indonesia sahaja, tetapi negara lain termasuk Guatemala dan Afrika tidak dibenarkan menebang hutan (selepas 2020) jika ingin mengeluarkan hasil kelapa sawit.

“Ini bererti bagi pekebun-pekebun kecil terutama di negara seperti di Afrika, Amerika Tengah dan Amerika Latin, mereka mungkin tidak dapat mengusahakan ladang kelapa sawit pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat-syarikat seperti FGV kini perlu bergantung kepada hasil yang diusahakan di atas tanah sedia ada sekarang.

“Kita telah melaksanakan usaha menanam semula pokok, menentukan pokok tidak terlalu tua dan sebagainya dan sekiranya ada sekatan-sekatan itu, semua pemain industri yang ada di Malaysia akan mula mencari pasaran lain seperti Russia, China dan India.

“China, India dan Pakistan misalnya merupakan antara negara pengimport yang agak besar jadi keperluan mereka tinggi dan peraturan pula tidak seketat di negara-negara Eropah,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam usaha FGV berdepan dengan cabaran industri kelapa sawit, syarikat itu turut mempraktikkan perniagaan lestari bagi memastikan alam sekitar tidak tercemar.

Rastam juga berkata FGV sedang mempertimbangkan untuk mengadakan kerjasama dengan institusi-institusi lain misalnya lembaga zakat negeri dan juga Felda dalam usaha memperluaskan kawasan penanaman kelapa sawit di negara ini.

“FGV tidak ada banyak kawasan tanah terbiar tetapi kita akan usahakan untuk memaksimumkan penggunaan tanah-tanah yang ada misalnya di Perlis dan Sarawak.

“Saya difahamkan LZNK turut berminat bekerjasama dengan FGV untuk membangunkan tanah-tanah yang ada di Kedah, begitu juga dengan Felda, ada kawasan yang kita boleh tanam kelapa sawit sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan hasil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan