EKONOMI > BERITA

UNIT MAG DAPAT KONTRAK, KERJASAMA DI ACARA MRO ASIA PASIFIK 2024

26/09/2024 07:49 PM

SINGAPURA, 26 Sept (Bernama) -- MAB Engineering Services (MABES), anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group (MAG), memperoleh kontrak dan kerjasama penting pada MRO Asia-Pasifik 2024.

Acara tiga hari yang berakhir hari ini, merupakan platform penting di rantau ini bagi industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Dalam kenyataan hari ini, MAG berkata MABES telah memeterai perjanjian perkhidmatan dengan Piedmont Propulsion Systems LLC (PPS) yang akan menyokong operasi penyelenggaraan kipas, termasuk kontrak dua tahun bagi program penyelenggaraan bilah kipas syarikat penerbangan Firefly.

“Program itu merangkumi aspek pemeriksaan, pembaikan dan pertukaran menyeluruh untuk kipas pesawat jenis ATR72 penerbangan itu, sekali gus meningkatkan lagi perkhidmatan sedia ada MABES selain memberi manfaat ketara untuk operasi MAG," katanya.

PPS yang berpangkalan di Amerika Syarikat adalah anak syarikat First Aviation Services Inc yang mempunyai kemahiran pembaikan dan membaik pulih hampir semua kipas pesawat.

Selain itu, MABES turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Meraque Services, peneraju penyelesaian berasaskan dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk pengurusan aset modal kritikal merentasi pelbagai sektor, termasuk pertanian, telekomunikasi dan gudang.

Kerjasama jangka panjang itu bertujuan menyepadukan teknologi inovatif seperti kenderaan secara kawalan jarak jauh atau tanpa pemandu, kenderaan darat autonomi dan penyelesaian AI dalam operasi MABES.

Usaha itu termasuk pemeriksaan pesawat menggunakan dron, kemudahan pemindahan bahagian dengan cekap, jangkaan penyelenggaraan dan meningkatkan pendigitalan, akan mengurangkan tempoh masa daratan pesawat selain meningkatkan ketepatan data MRO.

MAG menyifatkan pemeteraian itu mewakili kelebihan strategik kumpulan dengan meletakkan MABES di barisan hadapan dalam teknologi dan inovasi MRO.

Perjanjian itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Operasi MABES Eke Nazri Rahim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif First Aviation Services Inc. Paul Bolton dan Ketua Pegawai Operasi Meraque Services Suria Affandi.

Eke Nazri berkata susulan jangkaan kumpulan pesawat (enjin) turboprop berkembang sebanyak 1.2 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang, kerjasama MABES dengan PPS dapat menjadikan syarikat itu sebagai platform sehenti bagi perkhidmatan berkualiti, menjimatkan kos serta pemulihan pantas untuk pengendali enjin berkenaan.

“Di samping itu, menerusi kerjasama dengan Meraque, kami menyasarkan untuk meningkatkan keselamatan tempat kerja, mengurangkan kos dan menambah baik kecekapan, mengukuhkan keunikan kami kepada MAG serta pelanggan pihak ketiga dan meningkatkan keupayaan syarikat sebagai penyedia MRO,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan