EKONOMI > BERITA

AEON CREDIT CATAT KEUNTUNGAN BERSIH LEBIH RENDAH PADA RM71.16 JUTA

26/09/2024 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Keuntungan bersih AEON Credit Service (M) Bhd menyusut kepada RM71.16 juta pada suku kedua berakhir 31 Ogos 2024 berbanding RM120.19 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan meningkat 14.8 peratus kepada RM541.43 juta daripada RM471.73 juta sebelum ini, berikutan pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang lebih kukuh, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Jumlah urus niaga serta jumlah pembiayaan kumpulan pada suku semasa pada RM2.16 bilion adalah lebih tinggi sebanyak 20.6 peratus berbanding dengan suku yang sama tahun sebelumnya.

“Penghutang pembiayaan kasar pada 31 Ogos 2024 berada pada paras RM13.19 bilion, lebih tinggi sebanyak RM1.63 bilion daripada tahun lepas,” kata AEON Credit.

Sementara itu, kumpulan itu turut mencadangkan dividen interim satu peringkat sebanyak 14.25 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 28 Feb 2025, berjumlah RM72.76 juta, dengan bayaran dijadualkan pada 7 Nov 2024.

Menurut makluman tersebut, pembiayaan bersih belum terima selepas peruntukan kerugian rosot nilai ialah RM12.48 bilion menjelang 31 Ogos 2024 daripada RM10.81 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas.

Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) berkurangan kepada 2.37 peratus pada suku kedua berbanding kepada 2.98 peratus yang dicatatkan sebelum ini, hasil daripada tindakan pembetulan yang diambil.

Mengenai prospek, kumpulan itu mengamalkan sikap berhati-hati berikutan ketegangan geopolitik semasa, tekanan inflasi dan turun naik yang berterusan dalam pasaran kewangan global.

“AEON Credit akan terus melonjakkan keupayaan teknologi maklumatnya untuk meningkatkan kecekapan operasi sambil mewujudkan ekosistem yang akan dibina daripada kumpulan syarikat AEON yang beroperasi di Malaysia (AEON Living Zone) bagi mengembangkan capaian pelanggannya.

Selain sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan itu yakin dapat mengekalkan momentum perniagaannya melalui pelaksanaan langkah-langkah yang sesuai untuk tahun kewangan berakhir 28 Feb 2025.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan