EKONOMI > BERITA

BANK ISLAM PERKENAL KAD KREDIT-I MASTERCARD INSPIRE UNTUK GOLONGAN PROFESIONAL MUDA

27/09/2024 07:33 PM

SHAH ALAM, 27 Sept (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkenalkan Kad Kredit-i Mastercard Inspire, kad kredit patuh syariah yang direka khusus untuk golongan profesional muda dengan menawarkan pengecualian fi tahunan sepanjang hayat.

Dibangunkan dengan kerjasama Mastercard, kad inovatif tersebut menawarkan manfaat eksklusif bagi membantu graduan dan individu yang baharu memulakan kerjaya untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih efisien.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam bagi Perbankan Runcit Mizan Masram berkata Kad Kredit-i Mastercard Inspire direka agar bersesuaian dengan pengguna kad kredit pertama yang berusia 21 hingga 35 tahun dengan minimum gaji tahunan sebanyak RM36,000.

“Kad ini bukan sekadar satu alat pembayaran. Ia merupakan kunci untuk membuka pintu pelbagai kemungkinan dan memperkayakan pengalaman pengguna.

“Kami berhasrat untuk mendidik pelanggan dalam pengurusan kewangan yang sihat, pada masa sama membolehkan mereka merasai kenikmatan setiap penemuan penggunaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kad kredit berkenaan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, turut diadakan acara eksklusif ‘Passport to Inspire’ di Central i-City, di sini, yang bermula 26 Sept hingga 29 Sept dengan memaparkan bengkel interaktif, sesi pengurusan kewangan dan peraduan yang menawarkan hadiah-hadiah edisi khas yang menarik. 

Mizan berkata bagi menampilkan rekaan minimalis, kad kredit terbaharu ini boleh didapati dalam empat pilihan warna menarik iaitu ‘refreshing green’, ‘roaring purple’, ‘sky blue’ dan ‘lively yellow’ yang pastinya berpadanan dengan gaya individu.

“Dengan 94 peratus daripada kad ini menggunakan material berasaskan tumbuh-tumbuhan, ia juga merupakan satu pilihan mesra alam,” kata beliau sambil menambah pihaknya menetapkan sasaran 20 peratus golongan muda akan memohon kad kredit yang dilancarkan itu sehingga akhir tahun ini.

Jelas beliau, pemegang kad juga akan menerima ‘2X TruPoints’ bagi pembelian dalam talian dan tiket penerbangan, di samping mata ganjaran tanpa had bagi kesemua pembayaran runcit, sekali gus memberikan lebih nilai untuk setiap transaksi.

“Mata TruPoints yang terkumpul boleh ditebus serta-merta dengan mudah di sebarang pedagang Mastercard di Malaysia dan seluruh dunia menerusi aplikasi mudah alih 'Bank Islam Mastercard Pay with Rewards™’,” katanya.

Kad Kredit-i Mastercard Inspire turut menyediakan kelebihan praktikal seperti kemasukan percuma sebanyak dua kali ke Plaza Premium Lounge dan potongan 20 peratus kadar tambang KLIA Ekspres, memberikan kemudahan dan penjimatan kepada pengembara.

Pemegang kad juga boleh menikmati pelbagai tawaran dan manfaat menarik daripada Mastercard sepanjang tahun dan untuk meraikan pelancarannya, Bank Islam menyediakan promosi istimewa mulai 1 Okt sehingga 31 Dis tahun ini.

Pemegang kad baharu yang membuat permohonan dan mengaktifkan kad kredit mereka dengan membuat perbelanjaan minimum RM100 dalam satu transaksi akan menerima baucar Grab bernilai RM30 yang boleh ditebus dalam aplikasi mudah alih Grab untuk perkhidmatan GrabFood dan GrabRide.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kad Kredit-i Mastercard Inspire, promosi-promosi yang dianjurkan serta permohonan, sila layari laman sesawang www.bankislam.com atau mengunjungi cawangan Bank Islam terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan