EKONOMI > BERITA

BNM MOHON RESPONS UNTUK PERALIHAN PENUH KE MYOR/MYOR-I

27/09/2024 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mendapatkan maklum balas mengenai cadangan pelan hala tuju tiga tahun peralihan penuh kepada Kadar Semalaman Malaysia (MYOR) dan Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) di samping penamatan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR).

BNM memberitahu garis masa yang dicadangkan akan memberi peluang yang luas kepada peserta pasaran untuk bersedia dan menyokong peralihan kepada produk kewangan baharu, merujuk kepada MYOR/MMYOR-i. 

Berdasarkan potensi penamatan KLIBOR, BNM menasihatkan peserta pasaran untuk mempertimbangkan bagi mengguna pakai MYOR/MYOR-i ke atas kontrak kewangan baharu untuk mengelakkan isu peralihan pada masa hadapan.

Bank juga harus terlibat secara proaktif dengan pelanggan untuk mendidik mereka tentang MYOR/MMYOR-i dan mempromosikan penggunaannya.

"Kepada mereka yang mahu meneruskan penggunaan KLIBOR, adalah penting untuk memasukkan pengunduran kontrak yang sesuai bagi mengurangkan risiko gangguan sekiranya KLIBOR ditamatkan," tambah bank pusat itu. 

Pengumuman ini dibuat dalam kertas perbincangan mengenai cadangan peralihan penuh kepada MYOR/MYOR-i dan penamatan KLIBOR untuk pasaran kewangan Malaysia.

BNM memperkenalkan MYOR pada 2021 dan MYOR-i menjelang 2022 sebagai kadar rujukan alternatif baharu (ARR) susulan langkah global ke arah mengguna pakai penanda aras kewangan yang lebih mantap.

Pendekatan pelbagai kadar, yang mana MYOR dan MYOR-i wujud bersama KLIBOR, menawarkan peserta pasaran fleksibiliti dalam memilih kadar yang paling sesuai untuk keperluan mereka.

 KLIBOR, yang diperkenalkan pada 1987, telah lama menjadi penanda aras kewangan yang boleh dipercayai untuk pasaran antara bank Malaysia, mencerminkan kadar yang mana penyerah KLIBOR secara sukarela meminjamkan dana ringgit untuk tempoh tertentu kepada penyerah KLIBOR lain.

Semasa peralihan, penyerahan KLIBOR hendaklah terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam dokumen dasar 'Penetapan Kadar KLIBOR' yang dikeluarkan oleh BNM pada 24 Sept 2021, yang mungkin dikemas kini dari semasa ke semasa.

Untuk memastikan peralihan yang lancar daripada KLIBOR kepada berasaskan transaksi MYOR/MMYOR-i, BNM menekankan keperluan dalam membangunkan kadar rujukan jangka berdasarkan MYOR/MYOR-i masing-masing untuk satu bulan, tiga bulan dan enam bulan, yang akan bertindak sebagai pengganti KLIBOR.

BNM, dalam rundingan dengan Jawatankuasa Pasaran Kewangan, mempelawa maklum balas daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk kementerian, agensi kerajaan, institusi kewangan, pengawal selia serta mana-mana organisasi atau individu lain yang terdedah kepada kewangan berkaitan produk KLIBOR.

Pihak berkepentingan digalakkan menyemak dokumen dan memberikan maklum balas bertulis mengenai cadangan, yang mesti dikemukakan secara elektronik kepada BNM melalui https://forms.office.com/r/BYriH3MTap selewat-lewatnya pada 27 Okt 2024. 

Selain itu, maklumat berkaitan KLIBOR - pendedahan produk kewangan berkaitan dan kontrak warisan, bersama-sama dengan borang maklum balas hendaklah dilengkapkan serta dihantar melalui e-mel kepada pasukan semakan penanda aras kewangan di fbr@bnm.gov.my.

Untuk pertanyaan khusus, pasukan semakan penanda aras kewangan boleh dihubungi melalui fbr@bnm.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan