EKONOMI > BERITA

INDUSTRI PERMAINAN VIDEO MALAYSIA DIJANGKA RAIH PENINGKATAN PELABURAN DARI JEPUN

28/09/2024 12:55 AM

Daripada Durratul Ain Ahmad Fuad

TOKYO, 27 Sept (Bernama) -- Industri permainan video Malaysia dijangka meraih peningkatan pelaburan asing terutama dari Jepun, menurut Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

MDEC menjelaskan ini didorong oleh kos perniagaan yang rendah, kumpulan bakat mahir, rangkaian studio Malaysia yang mantap dan sokongan kukuh daripada kerajaan.

Ketua Transformasi Digital Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata peranan MDEC adalah menarik pelabur asing supaya bertemu, berbincang dan bekerjasama dengan syarikat terbaik Malaysia.

“Kita telah bercakap dengan banyak syarikat Jepun. Mereka mengakui kumpulan bakat Malaysia diterima secara meluas berbanding dengan negara lain, kerana pengetahuan, kemahiran dan kecekapan mereka dalam industri permainan video kita.

“Kita juga mempunyai rangkaian studio Malaysia yang mantap dan boleh bekerjasama dengan pelabur, disokong oleh ekosistem komprehensif yang membolehkan pembangunan industri permainan video bergerak ke hadapan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kerajaan turut menawarkan sokongan menerusi status Malaysia Digital, yang merangkumi insentif cukai untuk pekerja asing berpengetahuan tinggi selain mempertimbangkan berkaitan zon waktu.

“Ia mungkin perkara kecil, tetapi mempunyai zon waktu membolehkan kitaran pembangunan yang seragam dalam industri permainan video juga merupakan kelebihan bagi industri permainan video dari segi pelaburan asing. Contohnya, zon waktu antara Jepun dan Malaysia hanyalah selang satu jam,” katanya.

Beliau berkata kehadiran pelaburan asing termasuk PlayStation Studios, EA (Electronic Arts) dan Bandai Namco Studios adalah bukti bahawa syarikat Jepun memilih untuk melabur dalam industri permainan video Malaysia.

Fadzli berkata industri permainan video Malaysia telah mengalami pertumbuhan ketara sejak sedekad lepas, dibuktikan oleh peningkatan bilangan studio yang diwujudkan dan pembangunan pelbagai harta intelek (IP).

“Kita telah mencatatkan pertumbuhan kukuh sejak 10 tahun lepas. Mengenai kadar pertumbuhan purata sejak lima tahun lepas pula, industri permainan video di Malaysia telah merekodkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul antara lapan hingga sembilan peratus.

“Pertumbuhan selama lima tahun lepas menyumbang kepada lebih US$100 juta (US$1 = RM4.13) yang dijana untuk Malaysia,” tambahnya.

Mengenai pertumbuhan eksport, beliau berkata terdapat peningkatan besar sekitar 32 peratus dalam pasaran eksport antara 2014 hingga 2022, mencerminkan keupayaan syarikat menawarkan perkhidmatan eksport.

MDEC menjangkakan industri permainan video tempatan akan berkembang sekurang-kurangnya lima kali ganda dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, dipacu oleh penciptaan IP baharu, mengukuhkan peluang sedia ada, mempelbagaikan akses pasaran dan menggalakkan transmedia untuk bersama-sama mencipta IP.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan