EKONOMI > BERITA

BINTAI KINDEN CADANG PELAN REGULARISASI UNTUK KELUAR DARIPADA STATUS PN17

28/09/2024 01:43 AM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Bintai Kinden Corporation Bhd (BKCB) mengumumkan cadangan pelan regularisasi untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dan memastikan kemampanan jangka panjang.

Menurut syarikat pakar perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik itu, pelan berkenaan tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia dan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa yang akan datang.

“Komponen utama adalah cadangan kepada kepelbagaian dalam sektor pembinaan, yang akan melengkapkan perniagaan teras kejuruteraan perkhidmatan mekanikal dan elektrik syarikat.

“Kepelbagaian ini akan membolehkan BKCB memanfaatkan peluang yang semakin meningkat dalam industri pembinaan Malaysia, dengan segmen pembinaan dijangka menyumbang sekurang-kurangnya 25.0 peratus kepada keuntungan bersihnya tidak lama lagi,” katanya yang juga pengeluar peranti perubatan dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, cadangan pengurangan modal saham melibatkan pembatalan sehingga RM160.0 juta daripada modal saham terbitan bagi menamatkan kerugian terkumpul, memperkukuh asas modal syarikat dan mewujudkan asas pertumbuhan lebih sihat.

BKCB turut mencadangkan tawaran saham persendirian sebanyak 244 juta saham biasa baharu, mewakili 20.0 peratus daripada jumlah saham terbitan, untuk mengumpul sehingga RM19.5 juta.

"Langkah ini akan menyediakan mudah tunai yang diperlukan untuk meningkatkan modal kerja syarikat dan menambah baik lembaran imbangan," katanya.

Sebagai sebahagian daripada cadangan itu, katanya saranan memberi opsyen akan membolehkan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Tay Chor Han untuk melanggan sehingga 146.39 juta saham baharu, mewakili 10.0 peratus daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan berikutan selesainya cadangan tawaran itu.

“Akhir sekali, BKCB memperkenalkan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS), yang akan melibatkan sehingga 15.0 peratus daripada jumlah saham diterbitkan,” katanya.

Syarikat menjangka dapat menyerahkan cadangan pelan regularisasinya kepada Bursa Malaysia untuk kelulusan dalam tempoh sebulan, dan akan memaklumkan kepada pemegang saham mengenai kemajuan perkara itu dan perkembangan masa depannya.

Pada 30 Mac 2023, BKCB diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai yang terjejas di bawah PN17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas anak syarikatnya mungkir membayar kemudahan pembiayaan bernilai RM109.0 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan