EKONOMI > BERITA

PENGERUSI SAPURA ENERGY, CEO KUMPULAN LETAK JAWATAN SUKU KEEMPAT TAHUN KEWANGAN 2025

29/11/2024 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Pengerusi Sapura Energy Bhd, Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Mohd Anuar Taib akan meletakkan jawatan pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2025.

Sapura Energy dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Mohammad Azlan akan meletakkan jawatannya sebagai pengerusi kumpulan pada 31 Jan, 2025, selepas berkhidmat sejak Mei 2022.

Mohd Anuar pula akan meletakkan jawatannya sebagai CEO kumpulan dan pengarah eksekutif pada 31 Dis, 2024, selepas hampir empat tahun memimpin syarikat.

Dalam pada itu, Sapura Energy juga mengumumkan pengerusi sementaranya, Shahin Farouque Jammal Ahmad yang akan dilantik semula sebagai pengerusi lembaga manakala CEO SapuraOMV Upstream (SapuraOMV) Muhammad Zamri Jusoh akan mengambil alih jawatan CEO kumpulan pada 1 Mac 2025.

Shahin Farouque menjadi ahli lembaga pengarah Sapura Energy sejak Disember 2023 dan dilantik sebagai pengerusi sementara pada Jun 2024.

"Beliau kini merupakan Ketua Kumpulan Pelaburan Strategik Permodalan Nasional Bhd dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam perbankan pelaburan dan sebelum ini berkhidmat sebagai pengarah eksekutif di bahagian pelaburan Khazanah Nasional Bhd," kata Sapura Energy.

Dalam pada itu, kata Sapura Energy, Muhammad Zamri pula menjadi sebahagian daripada pasukan kepimpinan kumpulan sejak Julai 2019 dan mempunyai lebih 25 tahun pengalaman bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Sementara itu, Sapura Energy berkata Mohammad Azlan selama berkhidmat memainkan peranan penting dalam memudah cara pemulihan dan meningkatkan tadbir urus kumpulan.

“Beliau mengetuai pembentukan dan mengemudi Pasukan Petugas Penstrukturan Semula Lembaga (BRTF) kumpulan yang menyediakan pengawasan dan sokongan kepada pasukan pengurusan dalam melaksanakan Pelan Tetapan Semula Sapura Energy,” katanya.

Sapura Energy berkata Mohd Anuar membimbing kumpulan melalui beberapa perubahan penting dan pencapaian utama dalam usaha pemulihan termasuk kemajuan besar dalam pelaksanaan penstrukturan semula hutang.

"Di bawah kepimpinan beliau yang mantap, kumpulan Sapura Energy menunjukkan ketahanan operasi walaupun berdepan cabaran kewangan, mencatatkan pendapatan stabil dan aliran tunai yang bertambah baik," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan