EKONOMI > BERITA

FASA PERTAMA TANAMAN BAWANG ROSE EHSAN PKPS CATAT HASIL TUAIAN 28 TAN

29/11/2024 09:28 PM

KUALA SELANGOR, 29 Nov (Bernama) -- Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berjaya mengeluarkan hasil bawang merah kecil sebanyak 28 tan pada fasa pertama tuaiannya yang membabitkan tanah seluas 3.2 hektar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata projek itu, yang membabitkan keseluruhan 25 ekar tanah (10 hektar), dibahagikan kepada tiga fasa iaitu yang pertama seluas 3.2 hektar manakala bagi kedua dan ketiga masing-masing 3.6 hektar.

"Keseluruhan 25 ekar itu akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Jan tahun depan dan dijangka boleh dituai dengan kapasiti maksimum pada Mac 2025 manakala jangkaan hasil per ekar sebanyak empat tan.

"Kos penanaman bawang ini per ekar berjumlah RM16,800 termasuk tenaga kerja dan utiliti," katanya pada Majlis Tuaian Fasa Pertama Projek Tanaman Bawang PKPS dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Selangor Fruit Valley di sini hari ini.

Beliau berkata bawang yang dituai akan dijual di beberapa lokasi di bawah kendalian PKPS iaitu Pasar Raya Ehsan Mart, lokasi Jualan Ehsan Rahmah, Outlet Ehsan Segi Fresh dan Pasar Borong Selangor.

Mohamad Khairil berkata teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) turut digunakan untuk memantau secara automatik pada masa nyata bagi mengoptimumkan penggunaan baja, pengurusan nutrien, kecekapan kos dan sumber.

Beliau juga berkata data yang dikumpul secara berterusan akan diterjemah ke dalam satu aplikasi dalam talian iaitu Smart Ehsan Onion.

"Berdasarkan data terbaharu, harga purata bawang kecil merah rose yang diimport dari India berada pada sekitar RM7.82 per kilogram dengan variasi harga bergantung kepada lokasi dan pembekal selain faktor kos import, kualiti produk dan permintaan pasaran juga mempengaruhi harga.

"Dengan sokongan berterusan pihak KPKM dan agensi kerajaan negeri, kami optimis projek ini akan memenuhi permintaan tempatan, menyumbang kepada kestabilan harga bawang rose dan mengukuhkan lagi agenda keselamatan makanan negeri Selangor serta negara,” katanya.

Selain itu, Mohamad Khairil berkata satu kajian mengenai Bawang Rose Ehsan sedang diusahakan di bawah Pusat Kecemerlangan Pertanian (ACE) Selangor Fruit Valley bagi mempertingkat pengeluaran produk berkualiti tinggi dan serasi dengan keperluan tempatan.

"Kami menggunakan jenis bawang Bangalore Rose Onion yang merupakan antara varieti unik dan terbaik yang tahan serangan penyakit selain sesuai ditanam dalam keadaan suhu berbeza.

"Hasil kajian yang kini memasuki bulan keempat dijangka memberi input berharga kepada pengembangan bawang rose dan hasil yang lebih lumayan dalam skala komersial," katanya sambil menambah bawang jenis itu memerlukan tempoh kira-kira 135 hari sebelum dituai.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim pula berkata penanaman bawang itu akan diperluas ke kawasan yang dikenal pasti di negeri berkenaan melalui program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) serta bakal menjadikan Selangor sebagai hab benih dan baka bawang jenis rose.

“Pihak berkuasa tempatan juga sudah mengenal pasti terdapat 200 ekar lebih tanah di Selangor yang boleh kita manfaatkan untuk tanaman bawang ini.

"Kita minta juga kerjasama daripada Universiti Putra Malaysia untuk sama-sama membantu dalam memastikan pembakaan serta pembenihan dapat kita perbaiki dan juga kaedah penanaman pengeluaran, kita nak tengok juga penyakit kalau ada kemungkinan akan timbul... kita nak kena jaga daripada awal," katanya.

Sebelum ini,  Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pihaknya mengenal pasti enam negeri iaitu Perak, Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan dalam usaha mencapai kadar sara diri bawang tempatan sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan