EKONOMI > BERITA

CPTPP: FTA MALAYSIA-UK AKAN TINGKATKAN PERDAGANGAN DAN PELABURAN - TENGKU ZAFRUL

03/12/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis -- Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) komprehensif pertama antara Malaysia dan United Kingdom (UK) menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata UK sebagai ahli Kumpulan Tujuh (G7) dan penyokong utama sistem perdagangan berasaskan peraturan membawa nilai yang signifikan kepada CPTPP.

Tengku Zafrul dalam ucapannya pada majlis pelancaran detik kemasukan UK dalam CPTPP berkata UK kekal sebagai rakan dagangan strategik kepada Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM14 bilion (US$3 bilion) bagi 10 bulan pertama 2024.

“Jumlah perdagangan ini akan bertambah baik menerusi peningkatan eksport Malaysia bagi minyak sawit mampan, alat ganti aeroangkasa, minyak dan gas, tenaga boleh baharu, produk alam sekitar, elektrik dan elektronik, produk gaya hidup serta eksport British bagi jentera, farmaseutikal, coklat dan kuih-muih serta barangan berteknologi tinggi.

“Pengeksport UK juga boleh memanfaatkan 16 FTA yang telah diratifikasi Malaysia termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan banyak lagi,” katanya.

UK dijadual menjadi negara ahli CPTPP pada 15 Disember, 2024.

Tengku Zafrul berkata sektor elektrik dan elektronik akan mendapat manfaat daripada FTA antara Malaysia dan UK menerusi CPTPP.

Beliau berkata pelabur UK akan menghargai kestabilan politik Malaysia dan kekukuhan kedaulatan undang-undangnya, menyokong landskap kondusif bagi pelabur yang mahu menubuhkan hab pembuatan atau perkhidmatan mereka di Asia.

Dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan Strategi Pelaburan Hijau, kesemuanya bertujuan untuk menarik pelaburan yang akan menggalakkan pertumbuhan mampan, saksama dan inklusif.

“Selain itu, kerajaan Malaysia serius terhadap pelaksanaan pembaharuan terhadap struktur industri dan lain-lain yang berkaitan,” kata Tengku Zafrul.

Mengenai Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN Malaysia pada 2025, Tengku Zafrul berkata adalah penting bagi perniagaan UK untuk melabur dan bekerjasama dengan rakan kongsi neutral dan berkecuali kerana sikap berkecuali dan berpusat ASEAN telah membawa keamanan serantau yang telah lama wujud.

Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan kepusatan dan berpendirian neutral supaya lebih banyak pelaburan dan perdagangan mengalir ke rantau ini, katanya.

Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British David Wallace berkata perjanjian itu akan menyaksikan 94 peratus tarif dihapuskan antara UK dan Malaysia, ia akan meningkatkan perdagangan melibatkan minyak sawit, koko dan kuih-muih serta kereta dan aeroangkasa.

"Kami berharap ia akan mengukuhkan perkongsian dan mengembangkan ekonomi dua negara (Malaysia dan UK)," katanya.

Selepas penyertaan UK dalam CPTPP, Wallace berkata jumlah gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara ahli CPTPP telah meningkat daripada lebih £9 trilion kepada £12 trilion (£1= RM5.64).

Beliau berkata UK akan menjadi negara ahli kedua terbesar di belakang Jepun, meningkatkan KDNK blok itu sebanyak 25 peratus.

“Menyertai kumpulan dagangan sedia ada ini bermakna lebih 99 peratus eksport barangan UK kepada negara-negara ahli CPTPP layak untuk memperoleh perdagangan bebas tarif dan ini bermakna tarif yang lebih rendah terhadap eksport CPTPP ke UK,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan