KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Cropmate Bhd optimis terhadap permintaan baja yang semakin meningkat di Malaysia terutama dalam sektor minyak sawit.
Pengarah jualan dan teknikalnya Leong Fo Seong berkata tanah yang terhad untuk pengembangan sawit di Malaysia memerlukan tumpuan dalam memaksimumkan hasil.
“Ini bermakna petani perlu menggunakan baja pada pokok untuk meraih hasil yang optimum.
“Satu lagi segmen adalah durian, yang telah menunjukkan prestasi baik di Malaysia. Seperti yang anda lihat, China telah mengimport kira-kira 1.2 juta hingga 1.5 juta tan durian daripada kami pada setiap tahun,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.
Menurutnya permintaan yang semakin meningkat terhadap durian dan minyak sawit dijangka mendorong penggunaan baja yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Cropmate terlibatnya terutamanya dalam formulasi dan pengadunan baja konvensional dan khusus.
Syarikat itu bercadang untuk memperuntukkan RM3.2 juta bagi menubuhkan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan ujian untuk meningkatkan kualiti produk dan menyokong rancangan pengembangan pada masa hadapan.
“Kami belum mencapai kapasiti penuh. Walaupun kapasiti semasa kami sekitar 220,000 tan, kami sedang menghasilkan lebih sedikit daripada 100,000 tan. Oleh itu, kami masih mempunyai kapasiti tambahan untuk memenuhi permintaan pada masa akan datang.
“Kami akan memperuntukkan sebahagian daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk R&D bagi meningkatkan kualiti dan mencari baja yang mematuhi piawaian alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) pada masa hadapan,” kata Leong.
IPO ini melibatkan terbitan 210 juta saham baharu dan penjualan 50 juta saham sedia ada.
Ini melibatkan tawaran institusi sebanyak 208.34 juta saham kepada pelabur institusi dan terpilih, termasuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada harga institusi yang akan ditentukan melalui proses penetapan harga.
Sementara itu, tawaran runcit sebanyak 51.66 juta saham disediakan kepada rakyat Malaysia serta pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Cropmate dan anak syarikatnya.
Cropmate mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 24.5 sen, iaitu premium 4.5 sen daripada harga IPO sebanyak 20 sen, dengan 26.09 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial