EKONOMI > BERITA

DELEUM AMBIL ALIH 70 PERATUS KEPENTINGAN PT OSA INDUSTRIES INDONESIA UNTUK RM31.3 JUTA

05/12/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Deleum Bhd (Deleum), Deleum Services Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian pembelian saham bagi mengambil alih 70 peratus kepentingan dalam PT OSA Industries Indonesia Pte Ltd (PT OSA) pada harga US$7 juta (RM31.3 juta). 

Ia susulan daripada pemeteraian perjanjian dasar induk yang dilaksanakan pada Mac tahun ini di antara dua syarikat perkhidmatan minyak dan gas tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deleum, Rao Abdullah berkata pengambilalihan itu secara tidak langsung membuka peluang baharu kepada entiti gabungan berkenaan.

“Pasukan kami yang diperluas dan kehadiran yang kukuh di kedua-dua negara menyediakan peluang yang tidak ternilai bukan sahaja untuk meneroka pasaran injap dinamik di Asia Tenggara tetapi juga untuk memperluas liputan melebihi barisan produk sedia ada.

“Pelaburan berterusan dan terancang dalam infrastruktur minyak dan gas, ditambah dengan peningkatan permintaan tenaga akibat ekonomi yang semakin pesat akan memberikan prospek yang baik untuk sektor injap di rantau ini,” katanya pada majlis tandatangan perjanjian itu di sini hari ini.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, PT OSA akan menyediakan jaminan keuntungan sebanyak US$2.7 juta (RM12.1 juta) secara kumulatif sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 dan 2025.

Dalam pada itu, Pengarah PT OSA Ong Siow Aik berkata beliau yakin jaminan keuntungan tersebut akan dipenuhi sepanjang dua tahun berkenaan.

“Saya juga tidak akan menandatangani perjanjian ini jika saya tidak yakin dengan perkara itu,” katanya.

Apabila ditanya mengapa beliau menjual saham majoriti syarikat tersebut, Ong berkata beliau mahu PT OSA berkembang melebihi keadaan semasa.

“Untuk beberapa tahun terakhir, saya mencari rakan kongsi dan kami berjaya berhubung dengan Deleum.”

“Alasannya adalah kerana saya ingin mencari rakan kongsi yang bukan sahaja mahu memasuki pasaran Indonesia atau mempunyai wang untuk berbuat demikian, tetapi syarikat yang memiliki semangat dan kepakaran, terutamanya dalam bidang kami, untuk membawa ia jauh melebihi apa yang saya boleh lakukan,” katanya.

Pertimbangan pembelian Deleum sebanyak US$7 juta akan dipenuhi melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

Pengambilalihan itu dijangka diselesaikan dalam separuh pertama 2025, kecuali keadaan yang tidak dijangka dan setelah syarat-syarat terdahulu yang dikenal pasti dipenuhi.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Deleum berkata PT OSA adalah rakan saluran tunggal untuk injap Baker Hughes di Indonesia.

"Cadangan pengambilalihan itu dijangka mengukuhkan kepakaran teknikal sedia ada dan keupayaan segmen pengurusan injap Deleum.

“Pasukan yang diperluas dan kehadiran yang kukuh di seluruh Malaysia dan Indonesia memberikan Deleum peluang yang tidak ternilai untuk meneroka pasaran injap yang dinamik di Asia Tenggara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan