EKONOMI > BERITA

MOF TUMPU PERCUKAIAN PROGRESIF, BELANJAWAN MAMPAN BAGI UTAMAKAN SEKTOR KRITIKAL

05/12/2024 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) akan menumpukan aspek percukaian progresif bagi memastikan keadilan dan belanjawan yang mampan untuk mengutamakan sektor-sektor kritikal negara sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sektor itu seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengurusan hutang secara bertanggungjawab untuk menyokong pembangunan selaras dengan aspirasi itu.

Sehubungan itu, katanya, kementerian berkenaan akan memacu pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan dalam teknologi hijau, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain membangunkan infrastruktur pintar dan mampan.

“Ketelusan dan kebertanggungjawaban itu dapat diperkukuh menerusi pendekatan antirasuah, inisiatif data terbuka serta kerjasama dengan sektor swasta.

“Di samping itu, kita akan melabur dalam usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja, mengukuhkan program-program kebajikan, meningkatkan akses penjagaan kesihatan, terutama bagi masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan itu,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam gala mesyuarat Majlis Perbankan ASEAN ke-52 di sini, malam ini.

Amir Hamzah turut menegaskan komitmen MOF terhadap aspek tanggung jawab alam sekitar dengan menyasarkan neutraliti karbon serta menggalakkan penggunaan sumber secara lestari.

“Secara bersama, usaha ini akan menjadi asas bagi Malaysia yang lebih berdaya tahan, inklusif dan makmur,” katanya.

Beliau juga mengetengahkan komitmen Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 untuk mengurangkan ketidaksamaan sosioekonomi dan mewujudkan peluang ekonomi yang mampan di seluruh rantau ini dan menjadi contoh bagi pembangunan mampan.

Kerangka Ekonomi MADANI dengan penekanan terhadap aspek kemampanan dan inovasi, akan berperanan sebagai panduan pembangunan ASEAN dan memastikan pertumbuhan inklusif dan saksama.

Pada masa sama, katanya, kerangka itu juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan  Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta aspirasi ASEAN 2045 untuk rantau yang berdaya tahan dan inklusif.

Malaysia juga, katanya, sedang mencatat kemajuan dalam empat tonggak utama : memudahcara perdagangan, matlamat kemampanan, ekonomi digital dan inovasi serta keterangkuman dan kemakmuran bersama.

Selain itu, Malaysia turut mencatat kemajuan dalam inisiatif pembiayaan hijau, termasuk penerbitan bon mampan dan sukuk serta kerjasama serantau untuk menggalakkan ekonomi rendah karbon.

"Ini bukan sekadar tindakan simbolik sebaliknya menjadi asas bagi membangunkan masa depan ASEAN yang mampan dan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan