EKONOMI > BERITA

PENSTRUKTURAN SEMULA BPMB, SME BANK, EXIM BANK SELARAS DENGAN AGENDA NASIONAL

05/12/2024 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Penstrukturan semula Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) adalah selaras dengan agenda nasional untuk melaksanakan pembaharuan dan memperkukuhkan institusi-institusi milik kerajaan, kata Kementerian Kewangan.

Ia melibatkan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank).

Kementerian itu berkata terdapat keperluan di pihak kerajaan untuk membuat penjajaran semula mandat, menilai kecekapan operasi dan prestasi serta penyampaian perkhidmatan setiap institusi bagi memastikan setiap institusi tersebut mencapai mandat dan masih kekal relevan.

"Oleh itu, penstrukturan semula IKP milik kerajaan ini akan menyaksikan mandat yang dikemas kini, keberkesanan penyampaian perkhidmatan dipertingkatkan, kapasiti modal diperkukuhkan dan jaringan pelanggan diperluaskan," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini. 

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai pendirian kerajaan terhadap cadangan penggabungan tiga bank tempatan berkenaan dan kesannya terhadap pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sementara itu kementerian berkenaan memaklumkan antara manfaat yang bakal diterima oleh PMKS melalui penstrukturan semula adalah peningkatan akses kepada pembiayaan dengan nilai lebih besar untuk pengembangan perniagaan melalui rekod kredit sedia ada apabila semua data peminjam dipusatkan.

Selain itu, gabungan ketiga-tiga bank berkenaan dalam penstrukturan semula dijangka meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kewangan.

"Dengan penyertaan EXIM Bank dalam penstrukturan semula ini, PMKS akan mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapat pembiayaan dan insentif bagi tujuan eksport.

"Ini akan membuka pintu kepada PMKS untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara dan memanfaatkan peluang dalam pasaran global," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan