EKONOMI > BERITA

ICIEC, MEXIM METERAI PERJANJIAN TAKAFUL SEMULA STRATEGIK UNTUK KUKUHKAN PERDAGANGAN GLOBAL

12/12/2024 08:27 AM
From: Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Islamic Corporation for the Insurance of Investment and Export Credit (ICIEC) memeterai perjanjian takaful semula perkongsian kuota strategik dengan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (MEXIM) untuk menyediakan Takaful Risiko Kredit Perdagangan Eksport pada skala global.

ICIEC, syarikat insurans pelbagai hala patuh syariah dan ahli kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDB) memeterai perjanjian itu semasa Mesyuarat Agung Tahunan AMAN Union di Algiers, Algeria.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MEXIM Nurbayu Kasim Chang berkata perkongsian itu mengukuhkan keupayaan bank untuk melindungi pengeksport Malaysia daripada risiko komersial dan politik, terutamanya apabila meneroka pasaran baru muncul dan bukan tradisional dengan memanfaatkan kapasiti pengunderaitan ICIEC.

"MEXIM komited untuk memupuk pertumbuhan pengeksport Malaysia dan kini menawarkan penyelesaian kewangan yang disesuaikan dan pilihan perlindungan komprehensif, memudahkan transaksi perniagaan di lebih 50 negara di lima benua.

"Sebagai ahli AMAN Union, kerjasama ini dengan ICIEC mewujudkan sinergi yang lebih kukuh, membolehkan perlindungan eksport komprehensif untuk pengeksport Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak menekankan bahawa perkongsian strategik itu bertujuan untuk memperkukuh ekosistem perdagangan global dengan menyediakan penyelesaian pengurangan risiko yang dipertingkatkan untuk perdagangan antarabangsa.

Perjanjian takaful semula perkongsian kuota membolehkan kedua-dua institusi berkongsi risiko dengan lebih berkesan, menggalakkan kestabilan kewangan dan memupuk peningkatan aktiviti perdagangan dan pelaburan pada skala global.

Pegawai Bertanggungjawab ICIEC Dr Khalid Khalafalla berkata pakatan itu meningkatkan keupayaan kedua-dua pihak dengan ketara dalam menyediakan penyelesaian risiko kredit perdagangan yang komprehensif dan mengesahkan komitmen mereka untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan di seluruh negara anggota.

"Dengan menyepadukan sumber dan kepakaran, kami menyasarkan untuk meningkatkan keyakinan pengeksport dan pelabur di seluruh dunia, sambil berpegang teguh kepada prinsip-prisip syariah," tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan