EKONOMI > BERITA

MALAYSIA TUMPU USAHA PERKUKUH DAYA SAING INDUSTRI, TEGUHKAN MALAYSIA SEBAGAI GERBANG GLOBAL PASARAN KEWANGAN ISLAM

12/12/2024 01:48 PM
From: Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Malaysia terus menumpukan kepada usaha mengukuhkan daya saing industri, pembangunan kepakaran dan kerjasama Syariah bagi memperteguh tawaran nilai Malaysia khususnya sebagai gerbang global untuk pasaran kewangan Islam di Asia dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata langkah itu seperti yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.

Menurutnya antara usaha itu termasuk sokongan berterusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan pemain industri kepada negara yang ingin mengembangkan rangkaian kewangan Islam melalui perkongsian pengetahuan kewangan Islam. 

"Sebagai contoh, Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF University) serta Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) baru-baru ini menganjurkan program kewangan Islam bagi Uganda dan Filipina yang ingin mendalami bidang perbankan Islam dan takaful Malaysia.

"Selain itu, pemain industri perbankan Islam dan takaful Malaysia juga aktif mengembangkan operasi dan menembusi pasaran baru terutamanya di pasaran serantau," katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu perkongsian atau kerjasama strategik yang sedang dijalankan dengan pemain utama dalam industri kewangan Islam untuk meluaskan jangkauan dan pengaruh Malaysia memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk produk dan perkhidmatan kewangan Islam di peringkat global.

Lim berkata pemain industri, melalui usaha bersepadu yang diterajui Majlis Kepimpinan MIFC telah memeterai Memorandum Kerjasama dengan Indonesia, Hong Kong, Türkiye dan United Kingdom (UK) pada Mei lepas.

Ia memberikan penekanan kepada inovasi produk kewangan Islam, menggalakkan perdagangan dan aktiviti kewangan rentas sempadan serta menggalakkan pembinaan keupayaan dan pendidikan, katanya.

"Kerjasama ini disusuli dengan forum perniagaan yang khusus di antara pemain industri Malaysia dan UK dalam usaha menggalakkan pelaburan hijau dengan penerapan penyelesaian kewangan Islam yang lebih meluas," katanya.

Menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) mengenai kemungkinan status bebas cukai Labuan dapat dikembalikan semula sepertimana semasa Labuan diserahkan kepada Wilayah Persekutuan pada 1984, Lim berkata status Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) masih berkuat kuasa sehingga kini

Menurutnya langkah mengenakan semula cukai ke atas produk rokok dan tembakau apabila dibawa masuk ke dalam semua PBC berkuat kuasa mulai 1 Julai 2021 merupakan antara usaha kerajaan dalam membendung aktiviti penyeludupan barangan berduti tinggi .

Selain itu, ia turut bertujuan menangani masalah ketirisan hasil cukai yang besar, terutamanya akibat penyalahgunaan status PBC oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk membawa masuk produk rokok dan tembakau ke dalam negara secara tidak sah, katanya.

"Sejak kerajaan melaksanakan langkah memperketat kawalan pengimportan produk rokok dan tembakau khususnya dengan mengehadkan aktiviti pemunggahan produk itu kepada pelabuhan tertentu sahaja, insiden rokok tidak sah di pasaran tempatan telah menurun 9.4 peratus dari 2020 berbanding September 2024.

"Ini juga menunjukkan langkah sebegini turut membantu dalam mengurangkan ketirisan hasil cukai," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan