EKONOMI > BERITA

KERUGIAN BERSIH BERJAYA CORP MENGECIL KEPADA RM88.68 JUTA PADA SUKU KEDUA

27/02/2025 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kerugian bersih Berjaya Corporation Bhd pada suku kedua yang berakhir 31 Dis, 2024 mengecil kepada RM88.68 juta berbanding RM120.77 juta pada tahun lepas.

Perolehan bagi suku tersebut menguncup kepada RM2.20 bilion daripada RM2.23 bilion sebelumnya disebabkan kumpulan itu mencapai kemajuan ketara dengan mengurangkan kerugian sebelum cukainya. 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan, kerugian bersih Berjaya sebanyak RM256.53 juta berbanding RM109.70 juta manakala perolehannya kepada RM4.43 bilion daripada RM4.80 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Konglomerat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia mencapai kemajuan ketara dengan mengurangkan kerugian sebelum cukainya kepada RM39.02 juta pada suku semasa berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM119.30 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Mengenai prospek, Berjaya berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh serta kadar inflasi purata yang sederhana walaupun terdapat ketidaktentuan yang timbul daripada ketegangan geopolitik yang berterusan.

"Kumpulan akan terus memantau perkembangan politik global dan tempatan di negara tempat ia beroperasi," katanya.

Berjaya berkata prestasi segmen perniagaan domestik dijangka bertambah baik disokong oleh perbelanjaan pengguna yang kukuh serta peningkatan dalam aktiviti pelancongan.

"Bagi perniagaan permainan, ia dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhannya untuk mencapai keputusan yang membanggakan," katanya.

Berjaya kekal optimistik berhati-hati mengenai operasi perniagaannya untuk baki sukuan dalam tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2025 kecuali mempunyai sebarang situasi yang tidak dijangka.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan