EKONOMI > BERITA

MALAYSIA SOKONG PENUH KEANGGOTAAN TIMOR-LESTE DALAM ASEAN - TENGKU ZAFRUL

28/02/2025 01:17 AM

KOTA TINGGI, 27 Feb (Bernama) -- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 menyokong sepenuhnya penyertaan Timor-Leste dalam blok berkenaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau menekankan bahawa Malaysia telah berperanan penting dalam memasukkan beberapa negara anggota ASEAN lain menyertai blok serantau ini.

"Pada tahun ini, sekali lagi, kami bersedia untuk melaksanakan peranan utama dalam memudahkan permohonan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11," katanya ketika berucap pada majlis makan malam alu-aluan bagi meraikan delegasi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru malam ini.

Timor-Leste sedang menantikan keputusan konsensus daripada negara anggota ASEAN mengenai penerimaannya sebagai anggota penuh dalam organisasi serantau berkenaan.

Negara berkenaan diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasminya memohon untuk menjadi ahli pada 4 Mac 2011.

Tengku Zafrul akan mempengerusikan Permukiman AEM ke-31 di Desaru esok, yang dijangka dihadiri oleh lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN dan Timor-Leste.

Dalam permukiman ini, para menteri dijangka membincangkan 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasakan kemampanan dan merangsang perdagangan digital di rantau ASEAN.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan