KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) pada masa ini tidak bercadang untuk menaikkan kadar atau Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) melebihi RM3 sekilogram.
KPK menjelaskan ini memandangkan situasi harga getah semasa menunjukkan kestabilan dan peningkatan.
“Bagaimanapun, kementerian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang mengkaji penambahbaikan mekanisme IPG.
“Kajian ini akan memberi tumpuan kepada pemberian insentif berdasarkan peningkatan produktiviti serta bantuan yang lebih bersasar untuk memastikan keberkesanan dan manfaat maksimum kepada pekebun kecil getah,” menurut KPK menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.
KPK menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mengenai sama ada kementerian akan menaikkan bayaran IPG kepada penoreh getah kecil di seluruh negara.
Menurut kementerian itu, bermula 2024, PHP IPG telah dinaikkan kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM400 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
“Melalui pelaksanaan IPG ini, pekebun kecil menerima harga getah cuplump (sekerap) peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering) berdasarkan PHP RM3 sekilogram,” tambahnya.
KPK menjelaskan kerajaan melaksanakan IPG sebagai langkah untuk menjamin dan melindungi kebajikan pekebun kecil getah semasa kejatuhan harga getah dan memastikan pengeluaran getah domestik yang berterusan.
“Bagi 2025, pelaksanaan IPG akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM171 juta yang telah diluluskan oleh kerajaan,” tambah kementerian itu.
Sementara itu, KPK turut menjelaskan LGM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan inovasi baharu dalam kalangan penoreh getah dengan matlamat meningkatkan produktiviti industri getah negara.
Semua langkah itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil dan pendapatan penoreh malah juga menyokong kemampanan industri getah negara dalam jangka masa panjang, tambah KPK.
Antara inisiatif itu adalah penghasilan klon baharu, teknologi stimulan, pisau toreh inovatif, mesin toreh automatik, pemantapan amalan “Good Agricultural Practices” (GAP), inovasi baja bio, serta latihan dan bengkel.
KPK menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai langkah yang sedang dilaksanakan bagi menggalakkan inovasi baharu dalam kalangan penoreh getah untuk meningkatkan produktiviti industri getah dalam negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial