EKONOMI > BERITA

PENYELIDIKAN PERBENDAHARAAN DAN PASARAN CIMB JANGKA BNM KEKAL OPR PADA 2.75 PERATUS DALAM MESYUARAT TERAKHIR MPC

01/11/2025 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 6 November, disokong oleh petunjuk makroekonomi yang kukuh. 

Dalam satu nota penyelidikan, ia berkata walaupun penurunan kadar pada awal 2026 mungkin berlaku, ia bergantung kepada dua petunjuk utama, iaitu kelemahan berterusan dalam eksport bukan elektrik dan elektronik (E&E) dan penyederhanaan dalam pertumbuhan kredit perniagaan serta modal kerja, yang jika ia dikekalkan, boleh mewajarkan pengurangan 25 mata asas pada suku pertama 2026.

“Memandangkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku ketiga 2025 yang kukuh, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan 2025 pada 4.3 peratus, dengan unjuran 2026 pada 4.1 peratus, didorong oleh penggunaan swasta yang berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh, pelarasan gaji perkhidmatan awam dan program tunai yang disasarkan.

“Pelancongan akan menjadi pendorong tambahan di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan ketibaan 47 juta pelancong,” katanya. 

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perdagangan Malaysia terus menunjukkan daya tahan pada September 2025, meningkat sebanyak 9.8 peratus tahun ke tahun kepada RM257.51 bilion, membalikkan penguncupan bulan sebelumnya di tengah-tengah ketidakpastian perdagangan global. 

MITI berkata pertumbuhan eksport kekal kukuh bagi bulan ketiga berturut-turut, meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun kepada RM138.68 bilion, manakala import pulih semula sebanyak 7.3 peratus kepada RM118.82 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM19.86 bilion. 

Menurut kementerian itu, pertumbuhan eksport pada September direkodkan merentasi semua sektor, dengan pengembangan dalam sektor pembuatan diterajui oleh produk E&E, yang mencatatkan nilai tertinggi, dengan kenaikan hampir RM11 bilion.

Sementara itu, CIMB IB berkata inflasi dijangka kekal sederhana, dengan tempoh sembilan bulan pertama 2025 berada pada 1.4 peratus (2025: 1.5 peratus; 2026: 2.0 peratus), dan keadaan dasar monetari dijangka kekal dalam penyesuaian. 

Penggunaan swasta pada 2026 dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh pasaran buruh yang teguh, pelarasan gaji perkhidmatan awam, dan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM15 bilion. 

“Selain itu, kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan 47 juta pelawat, dijangka akan meningkatkan lagi permintaan domestik dan aktiviti perkhidmatan,” tambahnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan