EKONOMI > BERITA

USAHA LINDUNG KEDAULATAN, KEPENTINGAN NEGARA BERMULA SEJAK AWAL RUNDINGAN ART - TENGKU ZAFRUL

01/11/2025 06:40 PM

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 1 Nov (Bernama) -- Usaha melindungi kedaulatan dan kepentingan negara telah bermula sejak awal rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pasukan perundingan terdiri daripada mereka yang sangat berpengalaman daripada pelbagai kementerian dan agensi dan turut terlibat dalam rundingan 19 perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai sebelum ini.

"Pasukan perundingan telah melihat semua risiko dan aspek bagi memastikan ini adalah perjanjian terbaik untuk Malaysia. Dalam mana-mana rundingan, ia tidak boleh bersifat satu hala, ada perkara yang perlu diberi dan ada perkara yang perlu dipertahankan.

“Jika ada perkara yang kita rasa tidak boleh diganjak, kita kekalkan pendirian..tetapi jika ada ruang untuk rundingan lanjut, kita berunding bagi mendapatkan hasil terbaik,” katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan kritikan berhubung perjanjian berkenaan namun ia harus berasas dan bukan bermotif serangan politik.

Justeru itu, kementeriannya akan melipatgandakan usaha dengan mengadakan lebih banyak sesi libat urus bagi meningkatkan pemahaman masyarakat berhubung perjanjian berkenaan.

Setakat ini, Malaysia telah memeterai 19 FTA termasuk dengan Kesatuan Eropah, Emiriah Arab Bersatu serta FTA yang baru ditandatangani dengan Korea Selatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan