EKONOMI > BERITA

ECRL DIJANGKA LONJAK UNJURAN KDNK TERENGGANU KEPADA RM48.2 BILION MENJELANG 2040

12/11/2025 02:32 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Nov (Bernama) -- Unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu dijangka meningkat kepada RM48.2 bilion menjelang 2040 berbanding RM34 bilion pada 2020 susulan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata data daripada hasil Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah (PeGTa) ECRL oleh PlanMalaysia itu melibatkan peningkatan purata tahunan sekitar 1.8 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan.

Beliau berkata ini menunjukkan projek Kerajaan Persekutuan itu bakal memberi impak pertumbuhan ekonomi yang signifikan terhadap Terengganu.

“Unjuran ini mengambil kira kesan langsung dan tidak langsung aktiviti pembinaan serta operasi ECRL termasuk peningkatan pelaburan sektor perindustrian dan logistik; pertumbuhan aktiviti perdagangan dan pelancongan serta pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sekitar stesen utama ECRL iaitu di Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Mamad Puteh (PAS-Kuala Berang) mengenai unjuran kesan ekonomi projek ECRL di Terengganu apabila beroperasi terhadap pertumbuhan KDNK negeri.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Nurkhuzaini berkata secara keseluruhan, projek ECRL bukan sahaja akan memperkukuhkan rangkaian pengangkutan serantau tetapi juga berpotensi menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan baharu dan mempertingkat daya saing Terengganu dalam ekosistem ekonomi Pantai Timur.

Untuk rekod, pembinaan projek ECRL di Terengganu merangkumi enam stesen yang kesemuanya adalah stesen penumpang kecuali Stesen Dungun dan Stesen Chukai yang turut dilengkapi dengan stesen kargo.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan