EKONOMI > BERITA

WILAYAH TENGAH KEKAL KUKUH HASIL PENYELARASAN, KERJASAMA, INFRASTRUKTUR BERKUALITI -- MIDA

12/11/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kekuatan sektor perindustrian di wilayah tengah bukan sahaja bergantung kepada infrastruktur fizikal tetapi juga hasil kerjasama rapat antara kerajaan, pelabur dan pemain industri, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata wilayah itu yang merangkumi Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya, berjaya menyerlah hasil penyelarasan usaha bertujuan memacu pertumbuhan industri yang mampan. 

“Kelebihan wilayah tengah bukan sahaja bergantung pada aset fizikalnya seperti pelabuhan, rangkaian pengangkutan dan taman perindustrian, tetapi juga penyelarasan yang berkualiti dan kerjasama yang memacu pembangunannya,” katanya dalam ucaptama pada Seminar Pelaburan Utama mengenai Inisiatif Kluster Perindustrian Wilayah Tengah. 

Seminar pelaburan selama dua hari yang bermula semalam, disertai kira-kira 800 pemimpin industri, penggubal dasar, komuniti perniagaan, dan pelabur bagi mengukuhkan wilayah tengah sebagai salah satu hab untuk pertumbuhan mampan, inovasi dan industri pintar di Malaysia.

Beliau berkata hari kedua seminar itu menekankan mengenai kepastian ekosistem, menyeru kepada penjajaran infrastruktur, dasar kawal selia, bakal dan keupayaan rantaian bekalan. 

“Ia memerlukan penyelarasan pelaksanaan merentasi universiti, agensi negeri dan industri, iaitu sesuatu yang kita perlu perkukuhkan bersama-sama,” katanya. 

Beliau juga menambah bahawa peranan MIDA adalah memastikan setiap sektor kekal saling berhubung  dengan baik antara pembekal tempatan dan asing, taman perindustrian, rangkaian logistik dan pengilang.

“Menerusi kerjasama berterusan dan terancang, kami mesti memastikan industri bertaraf dunia disokong oleh piawaian tempatan yang kukuh dalam perkhidmatan jentera, perkakasan dan penyelenggaraan, manakala infratruktur digital kita membolehkan proses lanjutan dilakukan dengan lebih pantas, tepat dan jelas mengikut permintaan pelabur. 

“Perjalanan daripada cita-cita kepada pelaksanaan menuntut perubahan teknikal dan institusi, dan MIDA kekal komited untuk melaksanakan perubahan ini,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan