EKONOMI > BERITA

INDEKS HARGA SEUNIT BESI MENINGKAT 0.6-2.5 PERATUS PADA OKTOBER 2025

12/11/2025 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Indeks harga seunit besi meningkat antara 0.6 peratus sehingga 2.5 peratus bulan lepas berbanding September 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tertinggi direkodkan di Perak iaitu 2.5 peratus, diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.7 peratus) serta Johor dan Pahang (masing-masing 1.4 peratus).

“Indeks harga keratan keluli dan logam turut meningkat pada Oktober, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.3 peratus hingga 2.0 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada September, indeks harga seunit besi mencatatkan kenaikan 0.4-1.9 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata indeks harga seunit simen pula kekal tidak berubah bagi semua kawasan kecuali penurunan dalam indeks di Terengganu dan Kelantan (-0.2 peratus) dan Kota Kinabalu (-0.1 peratus).

Menurutnya bagi perbandingan tahunan untuk tempoh Oktober 2024 dan Oktober 2025 menunjukkan indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara negatif 1.7 peratus hingga negatif 7.3 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini telah dicatatkan di Tawau dan Sibu (masing-masing 7.3 peratus) dan diikuti dengan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (7.1 peratus).

Bagaimanapun, indeks harga seunit simen pula telah mencatatkan peningkatan antara 0.5 peratus hingga 3.9 peratus pada Oktober 2025 berbanding bulan yang sama tahun lepas bagi seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Peningkatan tertinggi bagi indeks ini dicatatkan di Tawau (3.9 peratus), diikuti dengan Sandakan (3.5 peratus) dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (2.7 peratus).

Mohd Uzir berkata purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan bar berbunga tegangan tinggi merekodkan peningkatan 0.7 peratus, dengan purata harga RM3,540.70 bagi setiap tan metrik berbanding RM3,516.11 per tan metrik bulan sebelumnya.

Selain itu, purata harga bagi simen Ordinary Portland juga telah mencatatkan peningkatan kecil (0.4 peratus) dengan purata harga RM24.00 per 50 kg sekarung berbanding September 2025 (RM23.90 per 50 kg sekarung).

Perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan antara 0.5 peratus hingga 2.5 peratus pada Oktober 2025.

IKB termasuk bar keluli di Sabah juga menunjukkan peningkatan antara 0.4 peratus dan 1.0 peratus bagi semua kategori bangunan dan kawasan pada Oktober 2025 berbanding bulan sebelumnya

Pada tempoh yang sama, IKB termasuk bar keluli di Sarawak merekodkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 1.0 peratus bagi semua kategori bangunan, katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan