KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas Energy Guyana Sdn Bhd menandatangani perjanjian petroleum (PA) bagi Blok S4 yang terletak di kawasan perairan Guyana.
Menurut kenyataan Petronas hari ini, Blok S4 meliputi kawasan seluas kira-kira 1,787 kilometer persegi dan terletak secara strategik di sepanjang laluan penghijrahan hidrokarbon yang berpotensi tinggi.
“Perjanjian itu dimeterai bersama kerajaan Guyana serta rakan konsortium, TotalEnergies EP Guyana Shallow SAS dan QatarEnergy.
“Di bawah perjanjian tersebut, Petronas memegang 25 peratus kepentingan penyertaan, QatarEnergy 35 peratus, manakala TotalEnergies, dengan pegangan 40 peratus, bertindak sebagai pengendali Blok S4,” kata syarikat minyak dan gas nasional itu.
Perjanjian itu juga menandakan penyertaan pertama Petronas di Guyana, sekali gus mengukuhkan lagi kehadirannya di rantau Amerika selepas konsortium berkenaan berjaya membida dalam Pusingan Pembidaan Lesen Guyana 2022.
Langkah itu juga merupakan pencapaian penting dalam pengembangan Petronas di Lembangan Guyana-Suriname, yang diiktiraf secara meluas sebagai kawasan baharu berpotensi tinggi untuk penerokaan sumber tenaga.
Naib Presiden Bahagian Penerokaan Petronas Faisal Bakar berkata penyertaan syarikat itu di Lembangan Guyana-Suriname menandakan satu lagi bab penting dalam perjalanan pertumbuhan antarabangsa Petronas.
“Kerjasama bersama TotalEnergies dan QatarEnergy ini mengukuhkan aspirasi bersama kami untuk mewujudkan sektor huluan yang berdaya tahan dan progresif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial