EKONOMI > BERITA

MESYUARAT MTN BINCANG STRATEGI MAMPAN PELAN HALA TUJU GAS ASLI -- PM ANWAR

12/11/2025 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini membincangkan dan bersetuju dengan strategi mampan yang digariskan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata ia bertujuan untuk memastikan keterjaminan tenaga negara terus terpelihara dalam menyokong pertumbuhan sosioekonomi serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

“Fokus utama kini adalah meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu kepada 35 peratus menjelang  2030, memperluas akses grid terbuka, serta mempergiat pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga baharu, sejajar Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Ia untuk memperkukuh sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif, demi menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan Malaysia,” kata Anwar menerusi hantaran di laman ‘X’ beliau hari ini. 

Perdana Menteri berkata mesyuarat itu turut bersetuju dengan unjuran permintaan dan pembekalan elektrik bagi pusat data berdasarkan penilaian terkini oleh Suruhanjaya Tenaga.

“Selain itu, mesyuarat meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti yang akan menyepadukan dan menyelaras operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara,” kata beliau. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan MADANI kekal fokus dalam menterjemah aspirasi peralihan tenaga negara untuk menjadikan Malaysia peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan