EKONOMI > BERITA

VISA AKAN PERLUAS PERDAGANGAN PINTAR SELURUH ASIA-PASIFIK, PELAN PERINTIS AWAL 2026

12/11/2025 06:54 PM

Daripada Danni Haizal Danial Donald

SINGAPURA 12 Nov (Bernama) -- Peneraju global dalam pembayaran digital, Visa Inc mengumumkan peluasan rangkaian Perdagangan Pintar Visa di seluruh Asia Pasifik dengan rancangan untuk melancarkan program perintis di rantau ini pada awal 2026.

Visa berkata dengan kemajuan berterusan dalam rangka kerja peraturan dan kesiapsiagaan ekosistem, peluasan perdagangan pintar ini menandakan kemajuan baharu dalam strategi perdagangan berautonomi Visa.

Katanya, ia memperkenalkan protokol keselamatan baharu serta program perintis yang bersedia untuk dibangunkan berdasarkan kerjasama dan inisiatif terdahulu.

Presiden Visa Asia Pasifik Stephen Karpin berkata Perdagangan Pintar Visa merupakan satu rangkaian antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) yang bersepadu.

Katanya ia juga merupakan program rakan kerjasama yang menggunakan infrastruktur selamat Visa untuk membolehkan ejen kecerdasan buatan (AI) melaksanakan pembayaran yang selamat, telus dan berasaskan keizinan bagi pihak pengguna.

Beliau berkata sistem itu merangkumi ciri-ciri seperti tokenisasi, pengesahan, arahan pembayaran dan isyarat transaksi yang membolehkan ejen AI beroperasi dengan telus dan selamat.

Jelasnya lagi, ini membolehkan pengguna mempercayai interaksi perdagangan yang dipacu oleh AI dengan yakin, sekali gus membantu mereka beli-belah dan membuat pembayaran dalam talian.

Menurutnya, perdagangan pintar memberi pengguna keupayaan untuk menggunakan AI bagi membuat pembelian melalui rangkaian Visa.

“E-dagang berautonomi apabila ejen digital pintar memperkasakan pengguna sama ada individu atau perniagaan bagi menjalankan urus niaga dan membuat pembayaran manakala kami memastikan perkara ini akan direalisasikan dalam rangkaian Visa,” katanya.

Beliau berkata demikan pada taklimat media di luar acara Festival Fintech Singapura 2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Produk dan Penyelesaian Visa Asia Pasifik T.R. Ramachandran berkata perdagangan berautonomi sedang mengubah secara menyeluruh landskap urus niaga pembayaran dalam talian yang memerlukan ekosistem bersatu bagi membuka potensi penuhnya.

“Dengan Perdagangan Pintar Visa dan terasnya, Protokol Ejen Dipercayai, Visa menghubungkan pengguna, ejen AI dan peniaga melalui penyelesaian yang selamat dan boleh diskalakan.

“Ini bagi memastikan setiap interaksi disahkan dan telus, sekali gus memberi kuasa kepada semua pihak dalam pembelian untuk menyambut masa depan ini dengan yakin,” katanya.

Visa meneruskan momentum di Asia Pasifik apabila syarikat itu secara aktif bekerjasama dengan beberapa pemain terbesar dalam bidang AI, teknologi selain pembayaran termasuk Ant International, LG Uplus, Microsoft, Perplexity, Stripe dan Tencent bagi membolehkan transaksi perdagangan berautonomi.

Kerjasama ini mencerminkan visi Visa tentang ekosistem yang saling bersambung apabila ejen AI dan ekosistem pembayaran bekerjasama untuk menyediakan pengalaman perdagangan pintar serta dipercayai.

Sebagai latar belakang, AI berautonomi mewakili langkah seterusnya dalam pembangunan AI apabila ia melangkah lebih jauh dengan menerima permintaan yang kompleks dan kemudian menaakul, merancang serta bertindak secara autonomi bagi pihak pengguna.

Ejen perdagangan merupakan satu bentuk baharu beli-belah dalam talian apabilla ejen AI menyelesaikan tugas bagi pihak pengguna seperti meneroka item, membandingkan pilihan dan menyelesaikan pembelian dengan input pengguna yang minimum diperlukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan