KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pengembangan pusat data Asia akan meningkatkan permintaan terhadap kuasa dengan ketara sehingga 2028, dengan Malaysia, Indonesia dan India dikenal pasti sebagai pasaran pertumbuhan utama di rantau ini, kata BMI, iaitu unit Fitch Solutions.
BMI dalam satu kenyataan hari ini berkata, pasukan teknologinya mengunjurkan purata pertumbuhan kapasiti pusat data sebanyak 9.7 peratus tahun ke tahun di seluruh Asia Pasifik (APAC) antara 2025 hingga 2028.
“Pasaran pusat data Asia sedang mengalami pertumbuhan yang pesat, didorong oleh peningkatan permintaan perkhidmatan awan dan pendigitalan.
“Ia berpunca daripada masalah pusat data di Singapura, susulan bekalan yang terhad dan harga pajakan yang meningkat mendorong pusat data untuk mengembangkan operasi di peringkat serantau, dengan Johor, Malaysia dan Batam, Indonesia muncul dengan alternatif pilihan untuk memenuhi permintaan yang berpangkalan di Singapura,” katanya.
Selain itu, BMI berkata kos elektrik yang terus meningkat di Amerika Syarikat (AS), iaitu lebih dua kali ganda di beberapa hab pusat data, menghakis daya saing jangka panjang Amerika Syarikat dan ia memihak kepada Asia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
“Hala tuju dasar pentadbiran semasa AS untuk memenuhi permintaan pusat data dengan penjanaan gas gas asli yang mahal, selain kurangnya sokongan bagi tenaga bersih, meningkatkan ancaman mengenai kenaikan kos dan garis masa dengan ketara untuk membawa kapasiti kuasa baharu ke dalam talian.
“Tenaga solar yang menawarkan tempoh pelaksanaan yang paling singkat, berdepan halangan dasar, manakala sektor gas menghadapi tunggakan pesanan yang panjang bagi peralatan dan infrastruktur,” kata BMI.
Secara perbandingan, Asia menawarkan tempoh yang lebih singkat bagi tenaga boleh baharu, terutamanya solar, dan kos tenaga yang agak kompetitif, mengukuhkan daya tarikannya kepada pengendali pusat data global yang mencari tenaga yang boleh diskala dan dipercayai.
Menurut BMI, walaupun Malaysia sedang menerajui pengembangan pusat data di rantau ini, kadar pengembangan itu memberi tekanan ketara ke atas sumber tanah dan kuasanya, termasuk grid.
Sementara itu, pasaran India dilihat berada dalam kedudukan yang baik di rantau ini untuk memanfaatkan permintaan pusat data bagi kuasa bersih, disebabkan oleh persekitaran dasarnya yang menyokong pertumbuhan tenaga boleh baharu dan perolehan kuasa.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami menganggarkan bahawa kurang daripada 10 peratus daripada pertumbuhan keluaran tenaga boleh baharu India akan diperlukan bagi memenuhi keperluan kuasa arus terus (DC) tambahan, sekali gus memberi ruang yang besar kepada sektor lain.
“Keadaan ini berbeza dengan kawasan tumpuan lain, Malaysia dan Indonesia, apabila permintaan DC ialah kira-kira empat kali ganda lebih tinggi daripada pertumbuhan keluaran tenaga boleh baharu, sekali gus mengehadkan ketersediaan kuasa yang bersih dan stabil,” kata BMI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial