EKONOMI > BERITA

RUNDINGAN FTA MALAYSIA-EU AKAN BERMULA TIDAK LAMA LAGI - TENGKU ZAFRUL

13/11/2025 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) akan bermula tidak lama lagi selepas semua ahli pasukan rundingan dari kesatuan itu tiba di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, penyambungan rundingan MEUFTA yang terhenti pada 2012 menandakan kedua-dua pihak mempunyai keyakinan yang sama terhadap perdagangan terbuka berasaskan peraturan sebagai pemangkin kepada kemakmuran dan penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi.

"Setelah selesai, perjanjian ini akan memperdalam hubungan industri, mengukuhkan rantaian bekalan dan memupuk kerjasama yang kukuh serta saling menguntungkan di antara Malaysia dengan Perancis," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Perancis Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia di sini malam ini.

Menurut Tengku Zafrul, sebanyak 149 projek dengan syarikat Perancis sudah dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2025 yang berjumlah RM6.3 bilion serta mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan.

Beliau berkata Perancis merupakan pelabur keempat terbesar Malaysia dan juga rakan dagang keempat terbesar di negara ini.

Jelasnya, pelaburan syarikat Perancis di Malaysia bukan sekadar modal sebaliknya ia mencerminkan keyakinan dalam kerjasama dan cita-cita bersama.

"Kami ingin mendorong sektor pembuatan maju, peralihan tenaga serta industri digital dan pada masa yang sama menarik pelaburan berkualiti.

"Oleh itu, kami menghargai kepakaran Perancis dalam aeroangkasa, tenaga dan teknologi selain mengalu-alukan kerjasama yang lebih mendalam dalam pembuatan hijau, teknologi bersih serta inovasi industri," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan