EKONOMI > BERITA

PELAN TINDAKAN AEROTRAIN AKAN DIAKTIFKAN ESOK - MAHB

14/11/2025 01:43 PM

SEPANG, 14 Nov (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengaktifkan pelan tindakan komprehensif (CAP) bermula esok bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan daya tahan sistem Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata langkah ini akan memanfaatkan tempoh liabiliti cacat (DLP) yang masih berbaki untuk menangani kelemahan sistem ini melalui pendekatan berstruktur dan pelbagai peringkat.

Menurutnya menerusi persetujuan Kementerian Pengangkutan dan pengiktirafan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pelan itu akan dimulakan dengan pemeriksaan harian dan kerja-kerja pembaikan yang dijadualkan bermula 9 malam hingga 7 pagi untuk meminimumkan gangguan penumpang.

Beliau berkata pelan itu adalah langkah penentu pada masa hadapan dalam mengembalikan keyakinan orang ramai melalui pendekatan berstruktur, kerjasama pengawalseliaan dan komunikasi terbuka.

“Fokus kami adalah untuk memastikan Aerotrain memberikan tahap kebolehpercayaan dan keselamatan yang dijangkakan di pintu masuk antarabangsa seperti KLIA.

"Pelan ini membolehkan kami menangani punca gangguan terdahulu secara sistematik di samping menekankan semula komitmen kami terhadap keselamatan penumpang dan kecemerlangan perkhidmatan," katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Mohd Izani berkata sepanjang tempoh berkenaan, perkhidmatan bas sepenuhnya akan digunakan untuk memastikan kesalinghubungan antara terminal utama dan bangunan satelit tidak terjejas.

"Bagi meningkatkan keselesaan penumpang, lebih banyak penerbangan berlepas dan tiba akan dilaksanakan di bangunan terminal utama bagi mengurangkan keperluan untuk penumpang berpindah," katanya.

Dibangunkan dengan kerjasama kontraktor dan perunding yang dilantik, CAP merangkumi tiga peringkat berstruktur untuk menangani kelemahan sistem secara sistematik dan boleh disahkan, katanya.

Mohd Izani berkata fokus pada peringkat pertama adalah untuk mengenal pasti kekurangan sistem, menyelesaikan isu punca utama, melaksanakan naik taraf teknikal dan perisian yang dirancang serta menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap keseluruhan sistem kereta api.

Fasa kedua menumpukan kepada pengesahan yang melibatkan ujian operasi simulasi dan penambahbaikan bersasar seperti mengemas kini perisian, penentukuran semula komponen serta ujian tekanan masa nyata bagi memperkuat kemantapan sistem, katanya.

"Fasa terakhir akan melibatkan operasi percubaan yang dipantau untuk mengesahkan tahap kesiapsiagaan sistem dan kestabilan operasi sebelum perkhidmatan sepenuhnya disambung semula," katanya.

Katanya penilaian bebas akan dijalankan untuk melaksanakan audit teknikal dan operasi secara komprehensif untuk memberikan jaminan selanjutnya.

APAD akan melaksanakan pemeriksaan keselamatan secara formal selepas pelan berkenaan disiapkan.

Mengenai kemungkinan untuk melanjutkan CAP selepas 15 Disember, Mohd Izani berkata perkara itu akan diputuskan selepas fasa pertama dan kedua selesai.

"Kami masih belum dapat memastikan tempoh yang diperlukan untuk operasi percubaan. Kami akan memaklumkan kepada pihak media dari semasa ke semasa sekiranya kami perlu melanjutkan tempoh itu," katanya.

Sejak operasi disambung semula pada 1 Julai, sistem Aerotrain KLIA telah memberikan manfaat kepada kira-kira tujuh juta penumpang dan melengkapkan lebih 53,000 perjalanan ulang-alik, dengan mencatatkan tahap ketersediaan perkhidmatan operasi sebanyak 98.41 peratus.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan